Menjelang perlawanan peringkat separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 menentang Johor Darul Ta’zim, ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Satianathan menegaskan fokus pemain tengahnya, Halim Saari tidak terjejas.
Satia berkata demikian setelah pemain berusia 25 tahun itu menerima kritikan pedas setelah beraksi bersama pasukan kebangsaan ketika menentang Vietnam dimana ramai pihak menganggap Halim gagal untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nor Azam Azih sekaligus menampilkan persembahan hambar.
“Saya berasakan Halim telah memberikan yang terbaik dan mahu dia meneruskan corak permainannya. Saya berasakan masih terdapat pemain lain yang harus dikritik, namun tidak berdepan perkara sebegini,” kata B.Satianathan menurut laloran Stadium Astro.
Halim diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan negara ketika beraksi di Hanoi minggu lalu dimana bekas pemain Kedah itu digandingkan dengan Brendan Gan.
Namun, Halim dilihat sedikit bergelut untuk menampilkan permainan terbaik dan menjadi sasaran kritikan oleh peminat bola sepak tanah air. Rata-rata daripada mereka berpendapat Halim tidak cukup bagus untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Selain Halim, dua lagi pemain Selangor iaitu Syahmi Safari dan Khairul Azhan turut menyertai kem skuad kebangsaan dan mereka akan segera melaporkan diri bagi membantu persiapan pasukan Selangor menjelang perlawanan menentang JDT.
Pertembungan separuh akhir pertama akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada 19 Oktober ini.
Perlawanan kedua pula akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober 2019.
Baca artikel lain mengenai pasukan Selangor di sini:
B.Satianathan Seru Penyokong Selangor Untuk Penuhi Stadium Shah Alam
Antonio German: Perbezaan Warna Kulit Memaksa Saya Tinggalkan Selangor