Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan dan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B.Satiananthan mempersoalkan sumbangan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) terhadap pembangunan bola sepak tanah air.

Menurut perkongsian Football Tribe, Satia menegaskan beliau tidak melihat produk yang dihasilkan oleh NFDP yang bermula pada 2014 lalu beraksi bersama skuad senior negara mahupun bersama pasukan yang bersaing di Liga Super.

B.Satianathan
Sumber Gambar: FA Selangor

“NFDP dibentuk pada tahun 2014, jadi jika kita mengambil kira pemain pada masa itu berusia 13 tahun, sekarang 2021, mereka semestinya sudah berumur 20 atau 21 tahun ketika ini.

“Tetapi kita tidak melihat banyak pemain berusia 19, 20 atau 21 tahun tidak seperti Sepanyol atau Itali, bermain dengan pasukan kebangsaan.

“Jika mereka menghasilkan pemain yang bagus dalam setiap 4 atau 5 tahun, kita sepatutnya mempunyai banyak pemain muda yang berbakat bermain untuk pasukan kebangsaan.

“Cuba beritahu saya, berapa banyak pemain NFDP berbakat yang bermain di Liga Super? Kalau Selangor, ada 4 hingga 5 pemain yang selalu bermain, mereka bukan dari NFDP. Saya sudah mengkaji dan mendapati semua pemain Selangor yang berasal dari program NFDP hanya bermain di Piala Presiden Selangor dan pasukan Piala Belia Selangor,” katanya.

B.Satianathan
Luqman Hakim antara produk NFDP yang beraksi di peringkat tertinggi. Sumber Gambar: KV Kortrijk

B.Satiananthan sebelum ini menggesa agar latihan pemain di akademi dan juga sekolah harus diubah dan perlu ada penilaian semula terhadap program pembangunan akar umbi selepas beliau menyaksikan pasukan negara tewas kepada Jordan dan Uzbekistan dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

“Saya tidak hanya bercakap mengenai Akademi Mokhtar Dahari. Ia harus menjadi satu perubahan holistik. Jordan dan Uzbekistan berada dalam tahap yang berbeza, walaupun mereka adalah pasukan dari Asia.

“Jadi, latihan pemain kita di akademi dan sekolah-sekolah harus berubah. Corak (permainan) lama sudah tidak boleh diguna pakai kerana sekarang ini kita nampak kepantasan (pergerakan) dan kemahiran dari aspek mengawal bola,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Stuart Ramalingam Gesa Pemain Hadapi Isu Gaji Tampil Ke Hadapan

Ada Hutang Tertunggak Dengan LHDN, Sarawak United Diberikan Lesen Kebangsaan Bersyarat

10 Pasukan Liga Super Dapat Lesen AFC Kecuali Melaka United Dan Sri Pahang