Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Azraai Khor Abdullah menyambut baik kehadiran penyerang import baharu pasukan iaitu Ifedayo Olusegun.
Baca Juga:
- Ifedayo Olusegun Perkuat Jentera Serangan Kedah
- Pasukan Perubatan Melaka Raih Pujian, Pulihkan Kecederaan Hamstring Ifedayo Dalam Masa Singkat
- Ifedayo Sertai Melaka United, Tiga Pemain Import Juga Dikekalkan
Kedah baru-baru ini mengumumkan ketibaan Ifedayo menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana pemain itu menggantikan penyerang import sebelumnya, Willian Lira yang memutuskan untuk meninggalkan pasukan selepas enam bulan menyarung jersi Kedah.
Selepas menilai beberapa calon, pengurusan pasukan memilih Ifedayo atas beberapa faktor antaranya pengalaman dan juga rekod jaringan beliau semasa beraksi bersama Felda United, Selangor dan Melaka United.
Kehadiran pemain berusia 32 tahun itu dianggap satu keputusan yang tepat oleh Azraai Khor.
“Reputasi dan kebolehan dia (Ifedayo Olusegun) kita tak boleh nak pertikai. Ini satu tindakan yang positif dilakukan oleh pasukan,” kata Azraai.
Selain Ifedayo, Kedah turut membawa masuk seorang lagi pemain import iaitu Moses Atede Jona yang mana pemain itu bakal memperkuatkan barisan tengah.
Ketika beraksi bersama Selangor, Ifedayo pernah memenangi gelaran Penjaring Terbanyak sebanyak dua musim berturut-turut iaitu pada musim 2020 dan 2022.
Meskipun beraksi cemerlang bersama Selangor, pemain kelahiran Nigeria itu memilih untuk berhijrah ke Melaka United pada musim berikutnya.
Akan tetapi, Ifedayo gagal mengulangi prestasi cemerlang bersama Melaka dimana pemain itu hanya menjaringkan tujuh gol sepanjang musim dan Melaka kemudiannya tidak dibenarkan untuk bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim ini ekoran gagal membayar gaji pemain dan pegawai pasukan.