Bek kanan Terengganu, Azam Azmi Murad mengakui akan memberikan komitmen sepenuhnya buat pasukan tersebut walaupun mendapat tawaran daripada beberapa kelab dalam saingan Liga Super.

Baca Juga:

Beraksi cemerlang sepanjang musim sehingga berjaya membantu Terengganu menamatkan kempen Liga Super 2022 ditangga kedua serta turut layak ke perlawanan akhir Piala FA, sudah pasti kelibat pemain berusia 21 tahun itu mencuri tumpuan pasukan lain.

Bagaimanapun, beliau yang ketika ini sedang menjalani sesi latihan pusat skuad kebangsaan tanpa berselindung mengakui tiada sebab untuknya meninggalkan Terengganu.

Malah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook rasmi Terengganu FC, Azam Azmi dilaporkan sudah pun menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama kelab tersebut.

“Azam juga menyatakan beliau sentiasa akan memberikan komitmen penuh buat pasukan Terengganu FC dan tidak sembunyikan yang beliau ada menerima beberapa tawaran dari kelab-kelab lain di Liga Super.”

“Tetapi sebagai pemain profesional beliau tetap akan terus setia bersama Terengganu FC dan seperti yang sedia maklum.”

“Azam juga menyatakan beliau kini berada di salah sebuah kelab terbaik di Malaysia dan dikelilingi penyokong yang tidak henti-henti memberikan sokongan untuk beliau dan rakan-rakan, ianya adalah sesuatu yang setiap pemain bolasepak inginkan dalam karier mereka.”

“Baginya berita-berita perpindahan pemain dalam bolasepak adalah perkara biasa dan beliau sedar beliau juga tidak akan terkecuali dikaitkan dengan berita seperti ini, namun jelasnya beliau akan terus kekal bersama kelab Terengganu FC dan memberikan komitmen penuh buat pasukan ini.”

 

Sumber