Skuad hoki lelaki negara (speedy tigers) terus menganas di Sukan Asia 2022 apabila membelasah Indonesia 9-2 pada aksi ketiga peringkat Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Park Stadium, semalam.

Ini adalah kemenangan ketiga-tiga berturut dilakar pasukan kendalian Arul Selvaraj yang menyaksikan mereka berjaya meledak 29 gol dalam tiga aksi pertama.

Bagaimanapun, Arul mengakui tidak puas hati dengan prestasi pemain membenarkan pasukan itu dibolos dua gol menentang Indonesia yang dibimbing oleh bekas jurulatih negara, Dharma Raj.

“Saya tidak puas hati dari segi konsentrasi, teknikal dan apabila kita membenarkan Indonesia menjaringkan dua gol. Saya tidak gembira dan saya akan selesaikannya esok.

“Saya rasa ada ramai antara kalangan pemain saya tidak berfikir dengan pantas ataupun tidak cukup untuk bermain dan kelekaan dari sudut persiapan mental semestinya memberi kesan.

“Saya akan cari jalan penyelesaiannya. Saya tidak bimbang langsung mengenai perkara ini tetapi itulah sikap pemain yang akan saya betulkan,” katanya dalam Harian Metro.

Kemenangan besar ke atas Thailand, Oman dan Indonesia itu membolehkan ‘Speedy Tigers’ kini mendahului Kumpulan B dengan sembilan mata bersama China.

Pada aksi terbabit, Malaysia yang berada di ranking 10 dunia bermula garang apabila merobek gawang Indonesia seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani namun Indonesia bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang Ahdan Asasi.

Namun begitu, Malaysia kembali menambah gol di permulaan suku kedua hasil jaringan Muhammad Firhan Ashari (m17) disusuli pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan (m19) untuk meletakkan mereka selesa 3-1 sehingga tamat separuh masa.

Pesta gol skuad negara bermula apabila memasuki suku ketiga dengan gawang Indonesia dirobek sebanyak lima kali masing-masing menerusi Faizal Saari (m33), Muhammad Najmi (m35) Shello dan Silverius (m38).

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m42) dan Razie Rahim (m43) turut mencetak nama selaku penjaring pada suku ketiga untuk Malaysia terus gah dengan keputusan 8-1.

Tidak cukup dengan lapan gol, Malaysia masih bernafsu menambah satu lagi gol apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyumbat gol kesembilan menerusi pukulan sudut penalti (m48) sebelum Indonesia mendapat gol kedua menerusi pukulan penalti Aulia Al Ardh (m55).