Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) semalam telah mengumumkan barisan pemain yang akan membawa cabaran negara bagi acara regu di Sukan Asia (Asian Games) 2022, esok.
Baca Juga:
- Asian Games 2022: Skuad Sepak Takraw Malaysia Bangkit Tewaskan Indonesia
- Asian Games 2022: Thailand Terlalu Unggul Buat Malaysia
- Asian Games 2022: Atasi Laos, Malaysia Hadapi Thailand Di Final
Seperti dijangka, Ahmad Jais Baharun bersama-sama barisan kejurulatihannya telah memilih trio berpengalaman dalam usaha mengekalkan pingat emas dimenangi lima tahun lalu.
Pemain yang dimaksudkan ialah Muhammad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir selaku pengumpan.
Dua lagi pemain yang dipilih merupakan tekong muda berbakat besar, Zarif Marican Ibrahim Marican dan perejam, Muhammad Afifuddin Mohd Razali.
Melihatkan kepada senarai lima pemain tersebut, Syahir dan Azlan merasai nikmat meraih pingat emas dalam acara regu di Jakarta pada edisi 2018.
Misi untuk mengekalkan pingat emas tersebut bagaimanapun tidak semudah yang disangka kerana kali ini menyaksikan gergasi sepak takraw, Thailand turut serta bersaing dalam acara ini.
Apatah lagi Thailand membariskan senarai pemain yang bakal membuatkan pasukan lain gerun dengan kemampuan mereka.
Hal ini kerana Sittipong Khamchan dan Siriwat Sakha menjadi sandaran di posisi tekong manakala kudrat Pichet Pansan serta Varayut Jantarasena diletakkan sebagai perejam.
Sementara itu khidmat pengumpan yang cukup berpengalaman iaitu Pattarapong Yupadee turut disenaraikan oleh skuad Thailand.
Skuad negara akan memulakan aksi peringkat kumpulan pada jam 9.00 pagi esok bertemu Vietnam dan kemudiannya Singapura menanti di sebelah petang.
Sekiranya semuanya berjalan lancar, pertemuan final skuad sepak takraw Malaysia bertemu Thailand akan sekali lagi dapat disaksikan selepas negara Gajah Perang itu tidak berdepan masalah muncul juara acara berpasukan.