Skuad sepak takraw Malaysia bangkit daripada kekalahan regu pertama untuk menundukkan Indonesia 2-1 pada aksi peringkat kumpulan acara berpasukan Sukan Asia (Asian Games) 2023 di Hangzhou, China sebentar tadi.
Baca Juga:
- Sepak Takraw Guna Sistem 15 Mata Mulai Tahun 2024
- Gugurkan Sobey Daripada Skuad Ke Sukan Asia 2022, PSM Nafi Hanya Pilih Pemain Kegemaran
- STL 2023: Atasi KPT-MASUM, Perak Bison Sahkan Kejuaraan
Malaysia bagaimanapun tersentak pada aksi regu pertama selepas Syahir Rosdi (tekong), Khairol Zaman Hamir Akbar (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) gagal menghadiahkan mata pertama.
Meskipun keserasian trio ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana mewakili KL Thunders dalam saingan domestik, ia langsung tidak menggentarkan lawan yang diwakili Syamsul Akmal (tekong), Jelki Ladada (perejam) dan Andi Try Sandi Saputra selaku pengumpan.
Aksi bertenaga ditampilkan trio Indonesia itu nyata memberikan kesukaran buat Syahir, Khairol dan Amirul yang sering kali melakukan kesilapan hingga membolehkan lawan memenangi set pertama 21-15.
Walaupun cuba untuk memberikan saingan sengit pada set kedua tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan pertama Indonesia 21-19.
Kekecewaan gandingan utama negara itu bagaimanapun diubati dengan kejayaan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir (digantikan dengan Zarif Marican Ibrahim Marican) selaku tekong, Muhammad Afifuddin Razali (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan).
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila mereka tewas 20-22 pada set pertama tetapi bangkit untuk menang set kedua 21-17 bagi mengheret aksi ke set ketiga.
Aksi yang cukup mendebarkan dapat dilihat pada set penentuan kerana jurang mata terlalu rapat.
Ia jelas dibuktikan selepas kelebihan 20-17 dimiliki skuad negara disamakan oleh Victoria Eka Praseyo, Saifu Rijal (digantikan Rusdi) dan Muhammad Hardiansyah Muliang.
Namun, barisan pemain negara kental bertahan untuk mencatatkan kemenangan 23-21 sekali gus menghidupkan kembali peluang bagi meraih kemenangan.
Kemenangan yang amat diharapkan oleh skuad sepak takraw Malaysia hadir menerusi Mohd Haziq Hairul Nizam (tekong), Nuraizat Nordin (perejam) dan Farhan Adam setelah mereka mudah menundukkan Dedi Setiawan (digantikan Abdul Halim), Anwar Budiyanto dan Dikyapriadi 21-10, 21-12.
Kemenangan penting dilakarkan itu sekali gus telah melayakkan anak buah Jais Baharun tersebut ke separuh akhir.
Ini bermakna pertemuan menentang Korea Selatan yang berlangsung pagi esok bakal menentukan juara dan naib juara kumpulan B.