Perjalanan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam temasya Sukan Asia (Asian Games) 2022 terhenti di separuh akhir selepas mereka tumpas kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kekalahan ‘straight set’ bertemu wakil India itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik bakal membawa pulang pingat gangsa.

Meskipun bukanlah pencapaian yang terlalu boleh dibanggakan, satu pingat gangsa itu sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaian edisi lalu dimana skuad negara gagal mendapat sebarang pingat.

Namun, banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh Pengarah Kejurulatihan Badminton Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk meningkatkan kemampuan barisan pemain negara di pentas antarabangsa.

Aksi yang ditampilkan Aaron dan Wooi Yik pada perlawanan ini jelas cukup berbeza berbanding ketika mereka menewaskan pasangan tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di suku akhir semalam.

Begitu banyak kesilapan mudah dilakukan ranking kelima dunia itu dengan Soh Wooi Yik seringkali menjadi sasaran serangan Rankireddy-Shetty yang cukup agresif dalam usaha mendapatkan mata.

Tekanan hebat yang diberikan memaksa Wooi Yik melakukan kesilapan sekali gus memberikan beberapa mata mudah buat lawan untuk menang set pertama 21-17.

Keyakinan jelas semakin memuncak dapat disaksikan dari corak permainan Rankireddy-Shetty yang memiliki kelebihan selesa 11-3.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh pasangan ranking ketiga dunia tersebut untuk mengesahkan kemenangan 21-12 bagi melangkah ke perlawanan akhir.-

Menanti mereka di perlawanan akhir ialah wakil dari Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho yang menewaskan pasangan Chinese Taipei, Lee Yang-Wang Chii-Lin 21-12, 21-10.