Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong mempamerkan corak permainan bertenaga untuk mara ke pusingan 16 temasya Sukan Asia (Asian Games) 2022 yang berlangsung sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan itu menyaksikan Tze Yong mengiringi rakan senegara, Lee Zii Jia yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas kejayaan menundukkan pemain Timor Leste, Zefi Costa Gusmao.

Meskipun terpaksa berhadapan dengan Loh Kean Yew yang merupakan pemain di ranking kesembilan dunia, ia bagaimanapun langsung tidak mengangganggu moral Tze Yong.

Pemain berusia 23 tahun itu mempamerkan ketenangan dalam menangkis setiap asakan serta bijak untuk memerangkap bekas juara dunia tersebut.

Selepas mendahului 11-9 pada rehat ‘interval’ set pertama, Tze Yong tidak memberikan banyak ruang buat Kean Yew untuk bangkit hingga membolehkan beliau menang 21-12.

Kecemerlangan itu diteruskan pada set kedua untuk Ng Tze Yong mengesahkan kemenangan dengan kedudukan 21-14.

Ia merupakan kemenangan ketiga dilakarkan Tze Yong terhadap Kean Yew yang menyaksikan mereka sudah beraksi sesama sendiri sebanyak empat kali.

Menanti beliau di pusingan 16 esok ialah pemain dari Thailand, Kantaphon Wangcharoen yang mudah menundukkan Shaheed Zaki Hussein Zayan dari Maldives.

Sementara itu, tugas sukar bakal menanti Lee Zii Jia apabila beliau dijadualkan bertemu juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn.

Berdasarkan rekod, Zii Jia dan Kunlavut terikat 3-3 tetapi pada dua pertemuan terakhir, Zii Jia tewas ketika bertemu pemain kelahiran Thailand itu.