Pasangan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan cabaran penuh berliku sebelum mengesahkan tempat ke pusingan 16 temasya Sukan Asia (Asian Games) 2022 yang berlangsung sebentar tadi.
Baca Juga:
- Asian Games 2022: Lee Zii Jia Tamatkan Rentetan Kekalahan Bertemu Angus Ng Ka Long
- Asian Games 2022: Skuad Berpasukan Malaysia Tersingkir Awal
- Asian Games 2022: Pemain Korea Utara Serang Pengadil
Berdepan Lu Ching Yao-Yang Po Han di BJ Gimnasium, Aaron dan Wooi Yik nyata langsung tidak diberikan laluan mudah oleh lawan dari Chinese Taipei tersebut.
Malah, Ching Yao-Po Han kelihatan cukup bernafsu untuk memburu kemenangan berpaksikan kepada aksi agresif ditampilkan.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka berjaya mencuri set pertama dengan kemenangan 23-21 bagi memberikan tekanan kepada beregu Malaysia itu.
Enggan menerima kekalahan seawal pusingan pertama, Aaron-Wooi Yik tampil dengan lebih baik dan bertenaga untuk mengheret aksi ke set penentuan hasil kemenangan 21-12.
Aksi penuh debar dijelmakan oleh kedua-dua pasangan yang saling kejar-mengejar mata pada set ketiga dimana pada akhirnya kejayaan menjadi milik Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan kemenangan 23-21.
Kejayaan Aaron dan Wooi Yik itu turut diiringi perseorangan wanita apabila Goh Jin Wei tidak berdepan masalah menewaskan pemain Pakistan, Siddique Ghazala 21-10, 21-4.
Sementara itu nasib berbeza dialami satu lagi pasangan beregu lelaki negara selepas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas kepada juara Sukan Olimpik, Lee Yang-Wang Chii-Lin dari Chinese Taipei.
Permainan yang berlangsung selama 41 minit itu menyaksikan gandingan negara tewas 16-21, 19-21.
Satu lagi wakil Malaysia akan beraksi hari ini ialah Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang bertemu Rohan Kapoor-Sikki Riddy dari India.