Mikel Arteta tidak dapat menerima kekalahan Arsenal dengan terbuka kerana menurutnya VAR yang memalukan telah menjadi puncanya.

Arteta dalam sidang media selepas perlawanan telah menggunakan kesempatan yang ada sekitar 3 minit untuk mengamuk tentang VAR.

Arteta menjelaskan bahawa, gol Anthony Gordon itu jelas sekali tidak sah dan ada banyak kesalahan di dalamnya. Malangnya, dengan adanya VAR, masih tak mampu membantu mengubah keputusan pengadilan yang lemah.

Anthony Gordon menjaringkan gol yang berpunca daripada gerakan di mana Arteta percaya bola yang dikawal Joelinton sudah terkeluar daripada kawasan permainan.

Seterusnya, VAR turut menyemak 2 lagi insiden daripada gol itu, memeriksan sama ada Anthony Gordon sudah ofsaid, dan adakah Gabriel dikasari oleh Joelinton sebelum gol terhasil.

Arteta turut menganggap detik gol itu adalah sangat memalukan apabila VAR tidak dapat melakukan tugasan dengan betul.

Arteta berkata: “Kita harus bercakap tentang perlawanan ini, kerana kita perlukan penjelasan bagaimana gol itu boleh dikekalkan?”

“Keputusan perlawanan tidak seperti yang selayaknya. Ianya memalukan.”

“Apa yang berlaku adalah memalukan. Bagaimana gol itu diberikan. Dalam Liga Perdana Inggeris, liga ini kita canang sebagai terbaik di dunia. Saya sudah di sini 20 tahun dan saya rasa malu.”

Arsenal menelan kekalahan pertama musim ini dalam usaha mereka mahu merebut kejuaraan daripada Manchester City.