Aksi cemerlang ditampilkan pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menobatkan beliau sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM edisi Februari-Mac 2023.

Baca Juga:

Anugerah tersebut merupakan anjuran Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang memberikan peluang kepada peminat untuk memilih pemenang.

Sehubungan dengan itu, Arif Aiman jauh meninggalkan empat lagi pencabarnya iaitu Park Tae-Su (Sabah), Fernando Forestieri (JDT), Faisal Abdul Halim (Selangor) dan penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Hamid.

Pemilihan Arif Aiman sebagai pemain terbaik itu nyata bukan perkara yang mengejutkan susulan aksi bertenaga dipamerkannya dalam membantu JDT mencatatkan rekod kemenangan bersih dalam enam perlawanan Liga Super pada Februari dan Mac.

Malah, beliau turut berjaya menjaringkan empat gol (bertemu Kuala Lumpur City, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah) serta mencipta tiga bantuan jaringan untuk menjadi antara watak penting buat JDT.

Selain itu, Arif Aiman turut diturunkan oleh pengendali pasukan, Esteban Solari sebagai pemain kesebelasan utama pada keenam-enam aksi tersebut dan hanya dikeluarkan pada minit ke-82 ketika bertemu Sabah.

Menurut sumber PFAM, kali terakhir Arif Aiman memenangi gelaran tersebut adalah pada edisi Mac 2021.

Senarai pendek pemain dalam Anugerah Pemain Terbaik Liga Super PFA Malaysia 2023 setiap bulan akan dipilih berdasarkan keputusan penilaian lima orang panel yang terdiri dalam kalangan wartawan bola sepak daripada pelbagai agensi.