Pemain Arab Saudi mendapat durian runtuh dimana mereka mendapat habuan lumayan selepas pasukan itu menewaskan Argentina pada aksi pembukaan kumpulan C temasya Piala Dunia 2022 Qatar.

Baca Juga:

Menurut laporan CNBC Indonesia,Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud menghadiahkan sebuah kereta jenama Rolls Royce Phantom kepada setiap pemain sebagai ganjaran atas kerja keras yang ditampilkan oleh mereka.

Harga semasa sebuah Rolls Royce Phantom yang sinonim sebagai kenderaan para jutawan ialah sebesar $460 Ribu atau sekitar RM2 Juta.

Selain memberikan hadiah kereta mewah kepada setiap pemain, Mohammed Bin Salman juga menghadiahkan setiap pemain wang sebanyak $1 Billion atau sekitar RM4.5 Billion sebagai tanda ucapan terima kasih dari pihak kerajaan.

Sebelumnya, Arab Saudi menamatkan rekod 36 perlawanan tanpa kalah yang dimiliki oleh Argentina dimana skuad kendalian Hervé Renard meraih kemenangan dengan keputusan 2-1.

Ketua pasukan, Lionel Messi menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran yang dilakukan Saud Abdulhamid terhadap pemain tengah, Leandro Paredes. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa pertama.

Igauan ngeri Argentina bermula pada minit ke-48 apabila percubaan kaki kiri Saleh Al-Shehri dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Feras Al-Brikan berjaya membolosi gawang Argentina yang dikawal Emiliano Martinez.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Salem Al-Dawsari meledakkan rembatan padu untuk menewaskan Martinez berselang lima minit kemudian bagi memberikan kelebihan buat wakil Asia itu.

Tersentak dengan jaringan kedua itu, Argentina tampil dengan lebih kemas untuk mendapatkan jaringan tetapi tolakan Nicolas Tagliafico ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol diselamatkan oleh Al-Owais pada minit ke-63.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Arab Saudi manakala ia merupakan rekod pertama kali Argentina dibolosi dua gol pada perlawanan pembukaan temasya Piala Dunia sejak kali terakhir mengalaminya pada 1974 (tewas 2-3 ditangan Poland).

Pada perlawanan tersebut, pemain pertahanan Arab Saudi, Yasser Al-Shahrani mengalami kecederaan retak tulang rahang dan juga tulang wajah selepas bertembung dengan rakan sepasukan, Mohammed Alowais.