Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam mengumumkan Piala Dunia Kelab 2023 akan diadakan di Jeddah, Arab Saudi.

Keputusan itu diambil susulan lawatan delegasi FIFA ke Jeddah minggu lalu untuk menilai persiapan menjelang kejohanan itu.

“Kami gembira kerana Jeddah, dengan kemudahan terkini dan reputasinya untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa utama, dipilih sebagai bandar tuan rumah bagi Piala Dunia Kelab Fifa,” kata Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al Misehal.

Kejohanan itu, yang akan berlangsung dari 12 hingga 22 Disember, di Arab Saudi buat kali pertama, seperti yang diumumkan sebelum ini pada Februari.

Piala Dunia Kelab edisi 2023 akan menjadi yang terakhir dalam format semasa membabitkan tujuh pasukan sebelum ia diperbesarkan kepada 32 pasukan buat kali pada 2025 di Amerika Syarikat.

FIFA menjelaskan bahawa format baharu bermula 2025 bagi meningkatkan lagi prestij pertandingan tersebut serta meluaskan penyertaan kelab dari seluruh dunia.

Kejohanan Piala Dunia Kelab tersebut dirancang diadakan 4 tahun sekali. Ianya mirip kepada format Piala Dunia yang ada sekarang ini.

Piala Dunia Kelab 2025 akan menjadi kemuncak bola sepak kelab lelaki elit profesional, Amerika Syarikat adalah tuan rumah terbaik untuk kejohanan global baharu ini,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Antara kelab yang sudah layak adalah Real Madrid, Manchester City, Chelsea, kelab-kelab Brazil – Flamengo dan Palmeiras, Leon (Mexico) dan Seattle Sounders (Major League Soccer).

Manakala dua wakil Asia yang turut layak ialah Al Hilal (Liga Pro Arab Saudi) dan Urawa Red Diamonds (J-League). Dua lagi wakil dari Asia akan ditentukan menerusi saingan AFC Champions League (ACL) musim 2023/24.

Rantau Oceania turut diberikan satu slot dan tuan rumah iaitu Amerika Syarikat dijamin satu tempat dalam kejohanan itu.