Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) mengumumkan mereka merancang untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 sebagai langkah untuk menjadikan negara itu kuasa sukan dunia.

Pengumuman Saudi itu juga hadir sejam selepas badan induk bola sepak dunia FIFA tuan rumah bagi Piala Dunia 2030 dan menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membida hak tuan rumah untuk tahun 2034.

“Bidaan itu berhasrat untuk membawa kejohanan bertaraf dunia dan mendapat inspirasi daripada transformasi sosial dan ekonomi Arab Saudi yang berterusan serta keghairahan negara yang berakar umbi dalam bola sepak,” menurut SAFF dalam satu kenyataan.

Arab Saudi dilaporkan tidak senang duduk melihat jiran mereka, Qatar sebelum ini dipuji ramai pihak selepas kejayaan mereka menganjurkan Piala Dunia 2022.

Sebaik kejohanan di Qatar berakhir, Arab Saudi mengikat Cristiano Ronaldo untuk beraksi dalam Liga Pro Saudi, yang pertama daripada kebanjiran pemain bintang yang ditawarkan gaji lumayan untuk bermain di negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia.

Antara pemain bintang yang kini beraksi di Liga Pro Saudi ialah Karim Benzema, Neymar, Ngolo Kante, Sadio Mane dan Firmino.

Kehadiran ramai bintang besar ke Liga Pro Saudi telah disokong oleh kerajaan dan kerabat diraja Arab Saudi. Ianya dianggap penting dalam usaha menaikkan imej negara itu sebagai calon tuan rumah Piala Dunia 2034.

Sukan menjadi komponen utama agenda reformasi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang bertujuan mengubah Arab Saudi menjadi hab pelancongan dan perniagaan sambil mengalihkan ekonomi daripada bahan api fosil.

Mereka juga bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA pada Disember ini. Awal tahun ini Arab Saudi disahkan sebagai tuan rumah Piala Asia 2027.