Seperti yang kita semua sudah dimaklumkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah membuat keputusan untuk membawa 2 pembantu pengadil dari Jepun dalam perlawanan akhir Piala FA pada 27 Julai nanti.
Kebiasaannya, orang akan bercakap atau pun menulis mengenai piramid bola sepak dan bercerita mengenai struktur piramid sesebuah liga. Tapi, pada hari ini VocketFC mahu membawa anda melihat dan memahami bagaimana piramid dan juga struktur sistem pengadil yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).
1.Bilangan Pengadil Yang Ada Di Jepun
Berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh JFA melalui laman web rasmi mereka, sehingga tarikh 1 April 2019, mereka mempunyai seramai 274,544 orang pengadil berdaftar!
Bilangan pengadil ini adalah terdiri dari pengadil yang berada dalam beberapa kategori atau mengikut hierarki piramid yang telah ditetapkan.
2.Piramid Pengadil Bola Sepak Jepun
Dalam piramid pengadil bola sepak Jepun, mereka telah mewujudkan beberapa kategori untuk menyelaraskan segala tugas dan tanggunjawab pengadil dengan mudah.
Secara asasnya, JFA memecahkan mereka kepada 4 hierarki utama iaitu;
- Kelas 1 / Wanita Kelas 1
- Kelas 2
- Kelas 3
- Kelas 4
Sila teruskan pembacaan untuk mengetahui butiran bagi setiap kategori pengadil seperti dibawah.
3. Bidang Tugas Pengadil Bagi Setiap Kategori/Hierarki
- Kelas 1/Wanita Kelas 1:
Pengadil yang berada dalam kelas ini akan memakai ‘Gold Badge Referee‘ ketika mengadili perlawanan. Dari segi bilangan pula, terdapat seramai 227 orang pengadil kelas 1 dan 52 orang pengadil wanita kelas 1 di Jepun ketika ini.
Menurut definisi yang dikeluarkan oleh JFA, pengadil kelas 1 ini layak untuk mengadili semua perlawanan yang dibawah kelolaan JFA.
- Kelas 2:
Bagi pengadil yang berada dalam kelas 2 pula, mereka akan memakai ‘Silver Badge Referee‘ yang dikeluarkan oleh JFA.
Sehingga 1 April 2019, JFA mempunyai seramai 3,617 orang pengadil dalam kategori kelas 2 dan kebanyakkan mereka ditugaskan untuk mengadili perlawanan yang dianjurkan oleh ‘Regional FAs” sahaja.
- Kelas 3:
Pengadil yang memegang ‘Blue Badge Referee‘ ini pula terbahagi kepada 3 kategori iaitu;
- General – Memiliki seramai 34,747 orang pengadil berdaftar.
- U-18 – Memiliki seramai 865 orang pengadil berdaftar.
- U-15 – Memiliki seramai 70 orang pengadil berdaftar.
Bagi pengadil dalam kategori ini, mereka hanya dibenarkan untuk bertugas dalam perlawanan yang dianjurkan oleh ‘Prefectural Football Association’ sahaja atau liga negeri jika dilihat dalam perspektif kita di Malaysia.
- Kelas 4:
Ini merupakan kelas paling bawah dalam hierarki pengadil bola sepak Jepun berdasarkan rajah struktur piramid diatas.
Sama seperti pengadil kelas 3, pengadil dalam kelas ini juga terbahagi kepada 3 sub kategori iaitu;
- General – Memiliki seramai 138,015 orang pengadil berdaftar.
- U-18 – Memiliki seramai 64,218 orang pengadil berdaftar.
- U-15 – Memiliki seramai 32,723 orang pengadil berdaftar.
Pengadil dalam kelas 4 ini hanya akan bertugas mengadili perlawanan bola sepak yang dianjurkan oleh cawangan atau persatuan bola sepak yang berdaftar diperingkat daerah dan bandar sahaja.
Walaupun begitu, mana-mana pengadil kelas 4 yang berjaya menunjukkan prestasi yang mengagumkan akan diberikan peluang untuk mengadili perlawanan yang sepatutnya diberikan kepada pengadil kelas 3 sebagai penghargaan atas kerja keras mereka.
Berapa Ramai Pengadil Bola Sepak Profesional Jepun Ada?
Mengikut kemaskini di laman web rasmi JFA, mereka mempunyai seramai 10 orang pengadil profesional dan 3 pembantu pengadil dibawah program Professional Referee System (PR).
Senarai pengadil bola sepak dibawah PR Sistem.
Senarai pembantu pengadil dibawah PR Sistem.
Nota: Bagi pengadil futsal pula, JFA juga mempunyai 4 ‘badge’ seperti pengadil bola sepak. Sehingga 1 April 2019, Jepun memiliki seramai 24,287 pengadil futsal berdaftar bagi semua hierarki pengadil.
Gambar diatas menunjukkan ‘Blue Badge’ yang dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Chiba kepada salah seorang pengadil kelas 3 yang berjaya lulus ujian. Sekeping badge dan juga surat pengesahan kelayakan pengadil kelas 3 yang memiliki kod bar tersendiri.
Inilah struktur piramid pengadil bola sepak Jepun secara umum yang boleh kita lihat dan faham bagaimana mereka membangunkan profesion sebagai pengadil ini.
Jadi, tidak pelik kenapa mereka muncul sebagai salah sebuah ‘powerhouse‘ di Asia bukan sahaja sebagai pemain malahan juga sebagai pengadil bola sepak.
Kemaskini:
Menurut paparan rasmi dari laman web FIFA, Jepun ketika ini mempunyai 7 orang pengadil FIFA lelaki dan 4 orang bagi pengadil FIFA wanita. Manakala bagi pembantu pengadil yang telah mendapat pengiktirafan FIFA pula adalah seramai 9 orang untuk lelaki dan 4 orang untuk wanita.
Bagi Malaysia pula, berdasarkan kemaskini semasa mempunyai 6 orang pengadil lelaki berstatus FIFA dan seorang pengadil wanita. Manakala bagi pembantu pengadil pula, Malaysia mempunyai 8 orang pemabntu pengadil lelaki dan seorang pembantu pengadil wanita.