Jika kita menyebut tentang Liga Thailand, pasukan seperti Buriram United dan Muangthong United pasti akan menjadi pasukan pertama yang muncul di fikiran. Kedua-dua pasukan ini mencipta impak yang besar dimana mereka berjaya membuat kejutan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan melahirkan beberapa pemain terbaik di rantau ini.
Dalam saingan Thai League 1 musim ini, Buriram menduduki tangga kedua dibelakang pasukan Port FC. Mereka turut mengekalkan rekod tanpa kalah selain mencatat empat kemenangan dan empat seri. Namun, berbeza dengan Muangthong dimana mereka kini berada di zon penyingkiran apabila menduduki tangga ke-15.
Prestasi buruk yang ditampilkan oleh Muangthong musim ini lantas menimbulkan tanda tanya. Bagaimana sebuah pasukan yang muncul juara Thai League 1 musim 2016 dan selalu memberikan cabaran bagi merebut mahkota liga kini sedang bergelut dengan prestasi serta berada dalam zon penyingkiran ?
Masalah kewangan yang dihadapi oleh pasukan dikatakan menjadi punca mengapa Muangthong menampilkan persembahan yang kurang meyakinkan setakat ini. Tunggakan gaji serta elaun pemain yang gagal dijelaskan oleh pengurusan pasukan menyebabkan Muanthong menerima tempiasnya.
Muangthong akan turun menentang Pattaya United dan mereka dilihat mahu mengekalkan rentak kemenangan setelah berjaya membenam PT Prachuap dengan keputusan 3-0 dalam saingan Piala FA Thailand.