Tonggak pertahanan Real Madrid, Antonio Rudiger menegaskan bahawa bulan Ramadan langsung tidak menjejaskan prestasinya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Baca Juga:
- VIDEO: Alaba, Kroos Setia Menanti Luka Rudiger Selesai Dijahit
- Real Madrid Sedia Ikat Rudiger Secara Percuma
- Antonio Rudiger Tepis Dakwaan Sebabkan Lampard Dipecat
Seperti diketahui, kehidupan pemain bola sepak beragama Islam ketika bulan Ramadan di Eropah pasti lebih mencabar kerana sesi latihan dan perlawanan tetap akan diadakan pada sebelah siang.
Bagi Rudiger, beliau melihat keadaan itu sebagai normal buatnya meskipun tanpa berselindung ia merupakan perkara sukar untuk dihadapi.
“Bukan saya [ketika ditanya adakah prestasinya akan menurun berikutan bulan Ramadan]. Saya sudah biasa,” ujar Rudiger menurut wawancara bersama Marca.
“Saya tidak makan atau minum apa-apa, saya berpegang padanya. Ia tidak mudah tetapi akan tetap perlu berlatih. Anda meneliti dan meletakkannya di dalam kepala dan akhirnya akan melakukan perkara tersebut [merujuk kepada berpuasa].”
“Ia antara senjata utama yang saya miliki untuk berpuasa, mentaliti dan akhirnya amalan berpuasa itu tidak menjadi masalah buat saya.”
“Saya bercakap kepada pakar pemakanan pasukan, ia merupakan perkara paling penting untuk mengetahui apa yang perlu saya makan, berapa banyak saya perlu minum,” tambah Rudiger lagi.
Menurut sumber laporan Marca, ketika sesi wawancara ini diadakan Rudiger meminta supaya sesi bergambar bersama penaja dihentikan buat seketika kerana beliau ingin menunaikan solat fardu Asar.
Malah, 20 krew sesi wawancara dan pengambaran bersama penaja tersebut juga amat berhati-hati kerana tidak mahu pemain skuad kebangsaan Jerman itu yang berpuasa melihat mereka sedang menikmati makanan dan minuman.