Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti menegaskan bahawa tiada sebarang perkara pelik atau persengketaan yang berlaku melibatkan dirinya dengan Eden Hazard walaupun pemain serangan itu kelihatan bergelut untuk mendapatkan minit perlawanan.

Memasuki musim ketiganya bersama Madrid, Hazard masih lagi belum dapat menampilkan kemampuan sebenar seperti pernah ditunjukkannya sepanjang menyarung jersi Chelsea.

Hal ini dibuktikan apabila beliau hanya mampu menjaringkan empat gol sejak mula menyertai Real Madrid pada kempen 2019/20, malah Hazard masih kemarau jaringan dalam saingan liga musim ini.

Keadaan itu juga sudah pastinya menjelmakan spekulasi banyak pihak mengenai berkemungkinan beliau mempunyai masalah dengan pengurus veteran dari Itali itu.

“Tiada apa-apa yang berlaku antara saya dengan Hazard,” ujar Ancelotti menurut sumber laporan dikeluarkan Marca.

“Satu-satunya penyebab [Hazard kurang mendapat minit permainan] ialah persaingan sengit yang terdapat di sini dan saya perlu memilih pemain terbaik untuk diturunkan pada satu-satu perlawanan.”

“Perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi ramai pemain, saya sesekali tidak boleh menafikannya. Tiada apa yang berlaku, Hazard berlatih dan sedang menunggu panggilan daripada jurulatih [untuk diturunkan]. Saya merasakan dia sudah bersedia sekiranya dia akan diturunkan.”

“Pada ketika ini, dia masih merupakan pemain Real Madrid. Dia menjalani latihan dan seorang yang fokus. Kami tiada perkara lain untuk difikirkan.”

“Tiada apa yang pelik berlaku. Ia hanya satu persaingan dan saya sebagai seorang jurulatih, akan menurunkan barisan terbaik untuk setiap perlawanan.”

“Saya cuba untuk bersikap adil dan memilik yang terbaik. Kadangkala, anda sangat bagus dan tidak diturunkan. Saya juga bercakap tentang Nacho [Fernandez], Marcelo, Dani [Ceballos], Isco dan Luka Jovic,” tambah Carlo Ancelotti lagi.

 

 

Sumber