Pasukan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari A (AMD A) menepati ramalan ramai apabila berjaya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Inter Club Football League (ICFL) Kelantan B16 Peringkat Kebangsaan 2022 di Tanah Merah, Kelantan.

AMD A bergelar juara setelah menumpaskan pasukan Grey United A dengan jaringan 1-0. Manakala tempat ketiga disandang pasukan AMD B. Tempat keempat pula jatuh kepada pasukan Mutiara Soccer Allstar.

Kejohanan anjuran ICFL yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac baru-baru ini mendapat kerjasama Grey United Football Club (Grey United FC) dengan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK).

Bagi menghargai keringat para pemain, kejohanan ini juga turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Loserpool. Kategori ini merupakan kategori bagi dua pasukan terbawah daripada peringkat kumpulan. Juara bagi kategori Loserpool di menangi Grey United B dengan jaringan 2-0. Tempat kedua dimenangi pasukan Junior Mutiara FC.

Manakala tempat ketiga dimenangi Afza United FC dan tempat keempat pula disandang oleh MSN Melaka B.

Dalam kejohanan ini sebanyak 16 pasukan bertanding yang mana terdiri daripada Grey United A, DK United FC, Afza United FC, Red Eagle FC, Air Merah FC, Mutiara Soccer Allstar, Junior Mutiara FC, MSN Melaka A, MSN Melaka B, PLD Paduka, Boys of Super Sombilan, Harimau Biru FC, AMD B, NFFA, Grey United B dan AMD A.

Majlis pelancaran turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Haji Wan Roslan Wan Hamat, Timbalan Speaker DUN Kelantan, Datuk Haji Ab Fattah Haji Mahmood, Ketua Jajahan Tanah Merah Merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah, Muhammad Yusoff Hassan, Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Majlis Sukan Negara, Mohd Safrulsahar Yusof, Presiden Inter Club Football League (ICFL), Datuk Kamil Mokhtar, Presiden Grey Club United, Datuk Azmi Ariffin.

 

Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar yang ditemui selepas kejohanan berkata,“Walaupun AMD A menjadi juara namun saya bangga dengan semua pemain yang bertanding. Mereka telah buktikan bahawa mereka juga setaraf dan setanding dengan AMD A dan AMD B yang mereka jadikan idola selama ini.

“Saya sangat teruja dengan semangat pemain-pemain yang memberikan daya saing diluar jangkaan menentang AMD A dan AMD B sepanjang kejohanan.”

Selepas ini, Kejohanan Bola Sepak ICFL B16 akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Utara dan Zon Tengah (Kuala Lumpur). Pemenang dari empat pasukan ini akan dihantar untuk bertanding diperingkat Asia pula.

Kamil juga menambah,“Kami juga sedang menuju kehadapan untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat yang ada dalam sesebuah pasukan. Pada pandangan saya, setiap pasukan pasti ada individu yang mempunyai skil bagus namun bakat mereka tidak dapat diketengahkan.

“ICFL akan sentiasa menyokong sebarang program pembangunan bola sepak negara. Malah kami akan membantu melahirkan bintang- bintang dengan individu skil bagi mencapai matlamat dan impian anak-anak muda yang ingin menjadi pemain professional satu hari nanti.

“Itulah tujuan ICFL anjurkan banyak kejohanan diperingkat zon dan kebangsaan untuk menilai dan memilih pemain yang berkaliber dan berbakat. Dari sini akan lahirlah belia remaja yang ada keazaman untuk bergelar pemain bola sepak professional.

Ujar Kamil lagi, Misi dan visi kami semakin dekat dan mungkin mencapai tahap bermain diperingkat ASEAN. Saya juga merancang untuk menjemput Indonesia dan Thailand bagi perlawanan persahabatan tiga penjuru di Kuala Lumpur pada bulan Jun ini.

 

“ICFL akan dijadikan platform, dimana pasukan yang menjuarai kejohanan akan mewakili ICFL Malaysia untuk bermain di peringkat ASEAN. Kami tidak akan pilih seorang-seorang pemain atau dari kelab lain untuk dikumpulkan. Takut tidak ada persefahaman kerana kami tidak mempunyai masa untuk melatih mereka. Kami akan mengambil pasukan yang sudah disusun rapi dan terlatih untuk mewakili ICFL Malaysia.”

“Kita tak nak nanti pasukan kita dianggap remeh. Saya mahukan pemain-pemain kita sentiasa memberi persaingan dalam setiap perlawanan. Kita inginkan persaingan yang sihat untuk menentang pasukan dari luar ini.

Menurut Kamil,“Untuk masa depan kami merancang untuk pergi ke peringkat Asia pula. Jika diizinkan Allah, kami akan anjur kejohanan di peringkat Asia pada September ini dan itulah harapan dan impian kami.

“Kejohanan ini melibatkan penyertaan dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura. 12 pasukan akan bertanding dalam kejohanan ICFL peringkat Asia. Pasukan yang menjuarai kejohanan diperingkat kebangsaan akan mewakili ICFL Malaysia bersaing dalam kejohanan antarabangsa tersebut.

“Kejohanan akan tampak lebih menarik dan kompetatif kerana Malaysia juga mempunyai pemain dan mampu melahirkan bintang-bintang yang berbakat besar dalam arena bola sepak.”

“Selama ini mereka tidak berpeluang untuk mewakili mana-mana pasukan. Jadi inilah yang ICFL sediakan iaitu satu laluan, platform kedua bagi mereka yang tercicir daripada platform yang sedia ada.”

Menurut Kamil lagi, Mereka juga akan selalu menyokong program pembangunan bola sepak negara untuk membantu dan melahirkan bakat-bakat muda dan bintang-bintang bola sepak remaja.

“Kami di pihak ICFL akan sentiasa membantu dengan mengadakan kejohanan bola sepak. Setiap minggu kami juga sering menganjurkan perlawanan persahabatan tiga penjuru. Hadiah berupa wang tunai, jersi dan piala. Itulah dorongan untuk kelab yang bermain dalam perlawanan tiga penjuru ini.

“Bila ada kejohanan tiga penjuru begini, budak-budak ini akan sentiasa sibuk berlatih dan game. Inilah tarikan ICFL supaya belia ini tumpu dan fokus kepada sukan bola sepak ini.

“Dengan wujudnya platform ICFL, besarlah harapan saya agar semua pasukan dan kelab-kelab yang ada di Malaysia menyertai ICFL. Bukan semua pasukan dapat menyertai ICFL ini dengan senangnya. Mereka kena melalui tapisan tertentu untuk menyertai kejohanan yang kami anjurkan.”

“Kami buat ikut dana yang termampu. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada penaja-penaja dalam kejohanan ini.Walaupun tajaannya kecil tapi besar ertinya pada pihak kami.

“Harapan saya, moga ada pihak kerajaan dan syarikat korporat sudi membantu menaja dana kepada ICFL. Dana ini bertujuan untuk pembangunan sukan negara bagi mencungkil dan menggilap bakat-bakat belia remaja bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan bolasepak negara.”

Kejohanan kali ini turut mendapat sumbangan daripada kerajaan negeri melalui Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Haji Wan Roslan Wan Hamat.

Penaja lain ialah Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK), Majlis Daerah Tanah Merah, Putera Valley Resort & Training Centre, Freslife Drinking Water, McDonald, EON Mall, Tanah Merah, Keha Gold dan Oriplus Sedap Do’oh.