TRW Kelantan FC berdepan malapetaka dahsyat selepas menampilkan prestasi paling buruk dalam sejarah Liga Malaysia pada musim ini.
Baca Juga:
- Lagenda TRW Kelantan Anggap Masalah Kali Ini Terlalu Berat
- Individu Ini Nasihati Andik Vermansah Agar Tidak Sertai TRW Kelantan
- Piala Malaysia 2023: JDT Berpesta Gol Belasah Kelantan
Pasukan yang dahulu digeruni kini menjadi lubuk belasahan lawan apabila merekodkan 106 gol bolos dalam semua pertandingan musim ini termasuk memecah rekod bolos 87 gol di Liga Super.
Terbaharu, mereka mengalami satu lagi kekalahan besar 2-11 kepada Selangor walaupun sudah bermain sepenuh hati pada perlawanan tersebut hari sabtu.
Ketua jurulatih Kelantan, Alfredo Vera berpendapat ketiadaan pemain import punca sebenar pasukan itu dibelasah dengan jumlah gol yang banyak kerana dibarisi oleh ramai pemain kurang berpengalaman.
“Kita tidak mempunyai pemain-pemain yang boleh menguasai perlawanan ini terutamanya pemain import. Pemain yang ada sangat muda, mereka belum ada pengalaman. Rata-rata baru bermain dalam 5 perlawanan Liga Super.
“Liga Super kita bermain dengan lawan yang kuat, namun kita hanya mampu bergantung kepada pemain bawah umur 23 untuk beraksi, ia menyebabkan kita sangat berat (teruk).
“Pemain yang kita ada tidak semua mereka layak beraksi di Liga Super dan sebelum ini mereka hanya bermain dengan pasukan sebaya mereka (Piala Presiden),” kata Alfedo Vera dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang Selangor.
Pasukan itu turut menjadi sasaran amarah penyokong dimana mereka meminta agar pemilik kelab, ZamSaham atau Norizam Turkiman bertanggungjawab di atas kekalahan besar dalam beberapa perlawanan yang diharungi.
Sebelum ini, mereka tewas kepada Terengganu dengan keputusan 8-0 dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 10-0.
Peminat mahu Zamsaham agar melepaskan pasukan kepada pihak lain yang berminat kerana mereka sudah bosan melihat kekalahan demi kekalahan pada musim ini.
Malah, mereka juga mahu ahli perniagaan itu kurangkan berbual dan atasi masalah tunggakan gaji serta hutang yang masih membelenggu pasukan tersebut.
Aksi Liga Super selepas ini, Kelantan akan menerima kunjungan Sabah di laman sendiri dan tidak mustahil satu lagi keputusan besar bakal berlaku kerana pemain Kelantan tidak mempunyai motivasi terbaik selain Sabah berada dalam prestasi terbaik.