Alex Ferguson dan Arsene Wenger telah menjadi pengurus pertama yang diangkat ke dalam Dewan Kemasyhuran (Hall Of Fame) Liga Perdana Inggeris .

Baca Juga:

Alex Ferguson adalah pengurus paling berjaya dalam sejarah EPL, setelah membimbing Manchester United meraih 13 gelaran sebelum bersara pada 2013.

Wenger memenangi liga sebanyak tiga kali bersama Arsenal antara 1996 dan 2018, termasuk musim tidak tewas / invincibles pada musim 2003-04.

Pasangan itu adalah seteru jangka panjang di garis tepi semasa kerjaya pengurusan mereka.

“Ia satu penghormatan apabila anda menerima pengiktirafan seperti ini,” kata Ferguson dalam satu kenyataan akhbar.

“Namun, ia bukan sahaja mengenai saya sebagai seorang insan. Ia mengenai tugas di Manchester United dan ikatan yang kami ada selama bertahun-tahun, jadi saya juga berbangga untuk kelab, kakitangan dan pemain saya.”

Dewan Kemasyhuran mengiktiraf dan meraikan individu yang mempunyai rekod kejayaan yang luar biasa dan telah membuat sumbangan besar kepada Liga Perdana Inggeris sejak 1992.

Rekod Liga Perdana Inggeris sepanjang masa Ferguson ialah 528 kemenangan daripada 810 perlawanan, dengan 1,752 mata terkumpul.

Pengurus asal Scotland berusia 81 tahun itu dinamakan Pengurus Terbaik Tahunan EPL sebanyak 11 kali dan mengumpul Anugerah Pengurus Bulanan  EPL sebanyak 27 kali.

Sementara pengurus asal Perancis, Arsene Wenger berjaya mencatat rekod 828 perlawanan Liga Perdana, termasuk 476 kemenangan dan 199 seri.

Legenda berusia 73 tahun itu dipilih sebagai pengurus terbaik tahunan EPL pada 1998, 2002 dan 2004.

“Untuk berkongsi perkara ini dengan Sir Alex adalah satu penghormatan besar buat saya,” katanya.

“Ia seperti dua peninju, anda bergaduh seperti orang gila dan menjauh antara satu sama lain.”

“Pada penghujung hari, anda mempunyai rasa hormat dan ia akan menjadi peluang yang terbaik untuk bertemu dengannya, berkongsi sebotol wain yang baik dan kenangan pertempuran lama kami.”

“Saya ingin dikenali sebagai seseorang yang menyayangi Arsenal, yang menghormati nilai-nilai kelab dan meninggalkannya dalam kedudukan di mana ia boleh berkembang dan menjadi lebih besar.”

Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters berkata: “Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger kedua-duanya memberikan sumbangan yang luar biasa kepada sejarah bola sepak di negara ini.”

“Mereka masing-masing membawa tahap kejayaan yang tidak dapat ditandingi kepada Manchester United dan Arsenal, meningkatkan taraf dan peminat yang dengan saingan mendebarkan yang menghasilkan 16 kejuaran yang menakjubkan antara mereka.”