Ketua pasukan Negeri Sembilan, Zaquan Adha enggan mengaku kalah meskipun mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang memaksa pemain itu untuk melupakan baki saingan Liga Super musim 2023.
Baca Juga:
- Zaquan Adha Bakal Terlepas Saingan Liga Super Musim Ini
- Herold Goulon Sudah Sembuh, Sedia Beraksi Lawan Terengganu
- Peminat Negeri Sembilan Pelik Herold Goulon Selalu Hilang Ketika Lawan JDT
Dalam satu wawancara bersama Astro Arena, Zaquan berkata bersara tiada dalam kamus beliau dan tetap akan beraksi sekiranya masih diperlukan dan mampu untuk beraksi.
“ACL adalah kecederaan yang paling ditakuti dalam sukan terutama bola sepak. Sakitnya teramat dan tidak dapat digambarkan emosi saya walaupun ia nampak biasa.
“Serta-merta saya tahu sudah mengalami ACL. Saya akan tetap dalam bola sepak. Lagipun ramai pernah mengatakan saya pasti akan gantung but tapi tiada dalam senarai saya lagi. Saya tidak menyatakan akan bersara cuma selagi saya rasa masih mampu beraksi, maka saya teruskan,” katanya.
Zaquan Adha mengalami kecederaan ACL ketika aksi suku akhir Piala FA menentang pasukan Selangor minggu lalu.
Selepas dimasukkan pada separuh masa kedua, Zaquan diletakkan di posisi sayap kanan oleh ketua jurulatih pasukan, K.Devan bagi menghidupkan bahagian serangan selepas ketinggalan 2-1.
Zaquan bertembung dengan pemain pertahanan lawan, Fazly Mazlan dan bekas ketua pasukan skuad kebangsaan itu terus jatuh dan mengalami kesakitan melampau.
Selepas mendapat rawatan dari staf perubatan, Zaquan Adha tidak dapat meneruskan permainan dan beliau terpaksa dikeluarkan.