Penyerang Singapura, Ilhan Fandi terpaksa menunda aksinya dalam saingan Liga Belgium bersama KMSK Deinze setelah disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika beraksi bersama negaranya dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Baca Juga:

Kecederaan Ilhan ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dimana pemain berusia 20 tahun itu bakal menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan yang dialami.

“Ilhan dijadualkan menjalani pembedahan pada 11 Januari 2023. FAS akan menanggung semua kos yang berkaitan dengan pembedahan itu, yang akan dilakukan oleh pakar bedah ortopedik Dr Lim Jit Kheng – salah seorang pakar bedah terkemuka Singapura yang berpengalaman luas mengenai pembedahan untuk pemain bola sepak elit dan juga atlet.

“Selepas pembedahan, Ilhan Fandi dijangka diketepikan selama enam hingga sembilan bulan sementara dia menjalani program pemulihan yang sesuai. FAS kini sedang berbincang dengan kelab Belgium, KMSK Deinze berhubung rancangan lanjut untuk Ilhan,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh FAS.

Adik kepada Irfan dan Ikhsan itu mengalami kecederaan ketika perlawanan kumpulan B menentang Vietnam di Stadium Jalan Besar yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan ketika itu.

Ketika bergelut bersama pemain Vietnam untuk mendapatkan bola di depan gol lawan, Ilhan tergelincir lalu jatuh dan kemudian memegang lututnya dalam kesakitan.

Beliau juga dilihat menangis tetapi berjaya bangkit untuk meneruskan perlawanan selepas lututnya dibalut. Keberanian beliau untuk kembali beraksi bagaimanapun tidak bertahan lama.

Para pemerhati bola sepak Asia Tengara berpendapat insiden tersebut berpunca daripada padang tiruan yang sebelum ini turut menyebabkan abangnya, Ikhsan Fandi mengalami kecederaan lutut dalam kawasan yang sama ketika aksi persahabatan menentang Maldives sebelum ini.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo menegaskan lebih ramai pemain akan mengalami kecederaan jika mereka beraksi di padang tiruan yang tidak diiktiraf oleh FIFA.

“Padang tiruan di Stadium Jalan Besar bukanlah salah satu padang yang direkomenkan oleh FIFA kerana ia mampu menyebabkan kecederaan pada pemain.

“Apa boleh buat, peraturan kejohanan Piala AFF 2022 menyatakan penggunaan padang tiruan masih dibenarkan. Saya fikir ia akan memberi kelebihan kepada para pemain Singapura kerana sudah biasa beraksi di situ,” kata Hang-seo.