Pemain tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih menjadi mangsa kecaman oleh para peminat bola sepak tempatan apabila mengutip kad merah di minit akhir perlawanan persahabatan jemputan King’s Cup menentang Thailand di Chiang Mai, semalam.
Baca Juga:
- Kim Pan-gon Jadikan King’s Cup Medan Persiapan Ke Piala Asia
- King’s Cup 2022: Kecemerlangan Syihan Hiasi Kejayaan Harimau Malaya Benam Thailand
- King’s Cup 2022: Tiada Tekanan Tambahan Buat Dion Cools
- King’s Cup 2022: Tajikistan Bangkit Tundukkan Trinidad & Tobago Untuk Ke Final
Ketika skuad negara hanya tinggal 3 minit untuk meraikan kemenangan 1-0, Azam Azih telah diperintahkan keluar padang ekoran kekasaran dilakukannya untuk sepakan percuma buat Thailand.
Sepakan diambil oleh Sumanya Purisai terus mencari Pansa Hemviboom yang bijak menanduk masuk bola menewaskan Syihan Hazmi.
Situasi tersebut turut membangkitkan kemarahan para penyokong setia Harimau Malaya terhadap kesilapan yang dilakukan oleh Azam sehingga menjadi punca gol penyamaan Thailand.
Malah, laman instagram Azih Azih turut dipenuhi komen makian oleh wargamaya yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemain Sri Pahang itu. Bagaimanapun, beliau tampil memohon maaf melalui satu muat naik di Instagram.
“Minta maaf semua. Dah cuba yang terbaik tapi hilang fokus last minit. Terima kasih keluarga dan pasukan bagi kata-kata semangat.
“Komen-komen positif dan negatif semua akan jadi pembakar semangat saya untuk jadi lebih baik di masa akan datang,” tulisnya.
Walaupun dikritik hebat namun pemain itu sebenarnya beraksi baik sepanjang 90 minit perlawanan apabila beberapa kali mengekang kemaraan jentera serangan skuad Thailand.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh atleadpass, Azam merupakan pemain kedua terbanyak melakukan pintasan di dalam padang iaitu sebanyak 5 kali di belakang Theerathon Bunmathan, selain menafikan 3 percubaan berbahaya oleh pihak lawan.
Bagaimanapun, Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir King’s Cup apabila penjaga gol, Ahmad Syihan bertindak cemerlang menepis sepakan yang diambil Supachok Sarachart dalam penentuan penalti dan kemudiannya Corbin-Ong memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya.
Skuad kendalian Kim Pan-gon itu dijadualkan bertemu pasukan di ranking 109 dunia, Tajikistan pada hari Ahad ini pukul 9.30 malam waktu Malaysia. Berdasarkan rekod, Malaysia pernah muncul juara dalam empat edisi King’s Cup iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.