Malam ini skuad Harimau Malaya bakal menentang Maldives dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum menghadapi Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 minggu depan.
Baca Juga:
- Prestasi Konsisten Skuad Harimau Malaya Hasil Kerjasama Erat Dengan JDT
- Kim Pan-gon Panggil Aliff Izwan Sertai Skuad Harimau Malaya
- Aguero Tekad Jaring Lebih Banyak Gol Untuk Harimau Malaya
- Hamidin Anggap Jersi Harimau Malaya Kali Ini Lebih Unik
Ia adalah perlawanan pemanas badan terakhir sebelum ketua jurulatih, Kim Pan-gon mengumumkan senarai 23 pemain yang dipilih mewakili negara dalam Kejohanan itu.
Justeru itu, beliau menuntut setiap pemain mempamerkan aksi terbaik untuk menambat hati barisan jurulatih berusaha menyesuaikan diri dengan taktikal yang telah diaturkan.
Kim Pan-gon juga menjelaskan hanya pemain yang serasi dengan taktikalnya sahaja berpeluang dipilih dalam skuad akhir.
“Perlawanan persahabatan ini adalah persediaan terbaik untuk beraksi di Piala AFF dan medium terakhir kepada pemain untuk membuktikan keupayaan diri untuk berada dalam skuad akhir Harimau Malaya.
“Sudah tentu kita pilih mengikut taktikal sebagai keutamaan dan bukannya keupayaan individu semata-mata untuk berada dalam pasukan.
“Oleh itu, pada masa sekarang adalah penting untuk mereka menyesuaikan diri dengan taktikal untuk mengharungi Piala AFF sebelum berdepan dengan Piala Asia tahun depan,” katanya.
Jumaat lepas, beberapa muka baharu mempamerkan aksi positif apabila membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Kemboja 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.
Malah, Pan-gon sendiri cukup teruja untuk melihat muka baharu yang berjaya menjaringkan gol sekaligus membuka peluang untuk dipilih menyertai skuad utama ke Piala Asia tahun depan.
“Pemain lebih bersemangat untuk mengharungi perlawanan persahabatan kedua selepas mencatatkan kemenangan menentang Kemboja tempoh hari.
“Ini memberi petanda positif kepada pasukan untuk membariskan skuad lebih mantap,” katanya.
23 pemain yang dibawa ke Piala AFF 2022 bakal menghadapi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.
Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala Final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik.