Perlawanan menentang Kuala Lumpur City dalam peringkat 16 pasukan terakhir saingan Piala FA bakal menjadi penentu terhadap masa depan ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner.

Michael kini menerima desakan hebat dari penyokong yang memintanya untuk meletak jawatan ekoran kekalahan Selangor kepada Melaka United dengan keputusan 2-0 dalam aksi Liga Super baru-baru ini.

Menurut perkongsian seorang pengguna Twitter, terdapat kekecohan semasa mesyuarat selepas aksi menentang Melaka dimana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan mahu memberi peluang kepada Michael bagi mengubah nasib pasukan walhal ahli lembaga yang lain mahu pengendali dari Jerman itu direhatkan seketika.

Akhirnya, semua bersepakat memberikan Michael satu lagi peluang iaitu aksi menentang Kuala Lumpur City dan besar kemungkinan ini akan menjadi perlawanan terakhir bagi Michael Feichtenbeiner.

Apa yang lebih mengecewakan peminat, sudah empat musim Selangor berada di bawah pengurusan baharu namun pasukan gagal untuk menjadi salah satu pencabar dalam liga, apatah lagi memenangi kejuaraan.

Sebagai langkah awal untuk perubahan, rata-rata peminat mahu Michael disingkirkan dan digantikan dengan jurulatih yang lebih arif dan berpengalaman dalam saingan liga domestik.

Kali terakhir Selangor memenangi kejuaraan ialah pada musim 2015 ketika mereka menjulang Piala Malaysia dan sejak itu, Selangor hanya mampu melangkah ke dua perlawanan akhir iaitu Piala Malaysia 2016 ketika mereka tewas kepada Kedah Darul Aman dan Piala FA 2018 dimana mereka tewas kepada Sri Pahang.

Sekiranya Michael disingkirkan, berkemungkinan besar Selangor bakal menggunakan khidmat jurulatih tempatan bagi menghadapi baki saingan musim 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Piala FA 2022: Terengganu Ke Suku Akhir, Kedah Gigit Jari

Yusri Che Lah Dapat Kepercayaan Penuh Lembaga Pengarah Perak FC

Pasukan Perubatan Melaka Raih Pujian, Pulihkan Kecederaan Hamstring Ifedayo Dalam Masa Singkat