Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 sudah pun memasuki peringkat separuh akhir dimana aksi pertama berlangsung pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang dapat disaksikan, Pahang Rangers mendapat kelebihan tipis menjelang pertemuan kedua di Shah Alam nanti hasil kemenangan 4-3.

Manakala skuad himpunan bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki kelebihan dua gol dan akan beraksi di laman sendiri menentang Selangor TOT United ekoran kemenangan 7-5 pada Isnin lalu.

Dengan 19 gol terhasil pada perlawanan pertama itu, ia memberikan indikasi jelas bahawa masa depan futsal tanah air sebenarnya amat cerah sekiranya diberikan perhatian khusus pihak berkenaan.

Ia dibuktikan apabila peminat telah disajikan dengan corak permainan berintensiti dan berkualiti tinggi pada kedua-dua perlawanan tersebut.

Pelbagai drama dapat disaksikan dimana aksi saling kejar-mengejar jaringan ketika pertembungan Pahang Rangers dan Selangor MAC.

Manakala kelebihan tiga gol dimiliki Selangor TOT United pula dipadamkan dengan tenang oleh JDT susulan enam gol berturut-turut terhasil.

Kemudiannya tuan rumah pula cuba bangkit dengan dua gol untuk kedudukan 5-6 tetapi JDT menamatkan aksi dengan tambah satu lagi jaringan.

Selangor TOT United membanjiri Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam

Hanya dengan membaca tulisan ini, sudah dapat dirasai kehangatan pertembungan tersebut dan jelas dianggap sebagai satu perlawanan yang cukup ‘gila’.

Malah, kehangatan di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam dan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) pada minggu lalu sudah cukup untuk menceritakan futsal mampu untuk menjadi sukan yang mencuri tumpuan buat semua.

Segenap ruang di kedua-dua gelanggang tersebut dipenuhi dengan pencinta futsal yang mahu merasai kehangatan pertembungan empat pasukan gergasi dalam kancah futsal tanah air pada ketika ini.

Perkembangan positif daripada segi kualiti permainan, kehadiran pemain import berkelas dunia serta sokongan padu para penyokong itu sebenarnya sudah boleh membuka mata pihak bertanggungjawab.

Bukan mahu menidakkan apa yang telah dilakukan pada ketika ini tetapi banyak kerja rumah dalam penambahbaikkan perlu dilakukan pihak bertanggungjawab untuk meningkatkan lagi kualiti liga.

Tidak hanya menganjurkan pertandingan dan menantikan ianya berakhir pada penghujung musim, terdapat elemen perlu dipertingkatkan terutamanya aspek nilai komersial dan promosi.

Pucuk pangkalnya ‘passion’ sepenuhnya terhadap futsal, sumber kewangan atau suntikan dana besar daripada pihak penaja memang diperlukan bagi memastikan usaha penambahbaikan daripada segala aspek dapat dijayakan dengan baik.

Berkata-kata dan memberi pandangan memang mudah berbanding usaha yang perlu dilakukan pihak bertanggungjawab, tetapi sedarlah usaha lebih daripada mereka pasti akan ada kemanisannya.