Stesen TV9 terus menyediakan program sukan yang menarik khas buat semua peminat bola sepak tempatan yang dahagakan aksi di peringkat antarabangsa.
Kali ini mereka akan menyiarkan perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang melibatkan wakil negara, KL City menentang kelab dari Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 6.55 petang.
Stadium Nasional pernah membawa tuah atau mencetuskan memori manis buat KL City apabila menjadi gelanggang mereka menamatkan penantian 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia selepas menundukkan gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) musim lalu.
Namun kali ini, mereka berpeluang mencipta satu lagi sejarah baharu di peringkat Asia dengan menjuarai Piala AFC sekaligus menjadi kelab kedua dari Malaysia melakukannya selepas JDT pada tahun 2015.
Kelab Al Seeb juga bukan ‘kaleng-kaleng’ apabila dianggap sebagai JDT versi Oman dengan mempunyai sekurang-kurangnya 10 pemain skuad kebangsaan beraksi bersama pasukan terbabit.
Walaupun situasi terbabit dilihat memberi kelebihan kepada Al Seeb untuk menjulang Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022, namun pengendali KL City, Bojan Hodak tidak mudah goyah kerana berpengalaman menumpaskan skuad seumpama itu di dalam saingan bola sepak domestik.
“Sejak minggu lepas, para pemain berusaha keras di sesi latihan kerana mereka semua mahu bermain di final. Ini memudahkan kerja saya kerana hanya perlu menumpukan perhatian kepada perubahan taktikal.
“Al Seeb cukup berbahaya di bahagian serangan tetapi kami sudah bersedia untuk menghadapinya. Kami hanya perlu fokus dan berharap dapat mengurangkan kesilapan mudah,” jelas Bojan Hodak
Mampukah KL City menewaskan Al Seeb? Adakah sejarah bakal tercipta?
Saksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala AFC 2022 diantara KL City menentang Al Seeb di saluran TV9 bermula pukul 6.55 malam ini (22 Oktober 2022).
Anda juga boleh menonton menerusi saluran unifi TV 109, Astro 149, myFreeview 109 dan strim di tonton.