Ketua pasukan Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris mengakui sokongan padu para penyokong akan membantu dalam menyemarakkan api perjuangan rakan sepasukannya pada perlawanan separuh akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023, malam ini.

Baca Juga:

Pahang Rangers yang jelas mendambakan kejuaraan MPFL selepas dua kali terlepas peluang akan menanti kunjungan juara bertahan, Selangor MAC di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan.

Malah lebih menarik untuk diperkatakan, Selangor MAC merupakan pasukan yang menjadi penghalang kepada impian juara mereka bagi dua edisi berturut-turut itu.

Sehubungan dengan itu, Akmarulnizam melihat pertembungan hebat melibatkan kedua-dua pasukan ini akan dihangatkan lagi dengan kehadiran penyokong memenuhi segenap ruang Stadium SUKPA.

“Ini perlawanan terbesar kita musim ini, pertemuan dua pasukan yang merupakan musuh ketat. Kita pernah atasi mereka di sini, dan kita mahu mengulanginya.’’

“Ia bukan mudah, bergantung kepada apa yang kita berikan pada malam esok (malam ini) selain kehadiran pemain penyokong juga akan memainkan peranan penting.’’

“Penyokong telah menjadi kekuatan kami sejak daripada awal musim, mereka sentiasa bersama kami setiap kali bermain di SUKPA mahupun tempat lawan.’’

“Malah saya masih ingat kali terakhir kita lawan Selangor di SUKPA pada 2019, stadium penuh langsung tiada ruang. Saya juga hadir sebagai penonton ketika itu kerana masih cedera ACL, dan saya dapat lihat sorakan mereka itulah membakar semangat pemain.’’

“Dan malam esok (malam ini) saya akan memimpin rakan sepasukan untuk aksi penting ini, kita mahu dapatkan kelebihan seberapa banyak yang boleh dan untuk itu sokongan padu penyokong amatlah ditagih, saya berharap dapat melihat stadium ‘full-house’ sekali lagi,’’ tambah Akmarulnizam lagi.