Ketua jurulatih skuad Piala MFL Penang, Akmal Rizal menafikan khabar angin yang mengatakan beliau bakal menggantikan E.Elavarasan sebagai pengendali skuad B-23 Tahun negara.

Menerusi laman media sosial X miliknya, Akmal menegaskan khabar angin mengenai dirinya tidak benar dan beliau menafikan perkara itu.

Khabar angin ini timbul selepas Akmal Rizal berkongsi gambar beliau melawat Wisma FAM baru-baru ini sekaligus ramai yang berpendapat bekas penyerang skuad kebangsaan itu bakal menggantikan Elavarasan.

Pada masa yang sama, bekas pemain Selangor dan Kedah Darul Aman itu menegaskan masih banyak yang beliau perlu belajar sebelum sampai ke tahap menguruskan pasukan kebangsaan.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan mereka akan memgumumkan pengganti kepada Elavarasan dalam masa terdekat.

Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram yang mana badan induk itu akan mengadakan perbincangan sekaligus mengumumkan pengganti Elavarasan.

Menurut kenyataan rasmi FAM, Elavarasan akan kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai sebagai pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dalam skuad senior negara.

FAM sebelum ini membuat keputusan melantik E.Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekaligus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.

Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu dan biarpun gagal di Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei, mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Sejurus selesai tugasan di Chonburi itu, satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.