Ketua jurulatih Thailand, Akira Nishino mempunyai harapan besar terhadap empat pemain yang berpangkalan di Jepun bagi membantu skuad itu mengatasi Malaysia dan Vietnam dalam saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Nishino baru sahaja menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari mula mencongak langkah bagi memastikan Thailand tidak tercicir jauh di belakang Malaysia dan Vietnam dalam kumpulan G.
“Tugas saya sekarang ialah memastikan Thailand berada di tangga teratas kumpulan dalam saingan peringkat kelayakan Piala Dunia 2022.
“Saya meletakkan harapan kepada empat pemain yang beraksi di J. League musim ini. Jika perlawanan melibatkan kelayakan Piala Dunia, mereka diberi pelepasan oleh kelab untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Jika perlawanan bagi saingan Piala AFF Suzuki pula, saya tidak pasti sama ada empat pemain ini akan mendapat pelepasan dari kelab masing-masing,” kata Akira Nishino.
Juara Piala AFF Suzuki lima kali berturut-turut itu akan mengadakan sesi latihan pada Oktober dan November sebagai persiapan menjelang perlawanan kelayakan pada tahun hadapan.
Namun pemain seperti Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda, Theerathon Bunmathan dan Kawin Thamsatchanan tidak akan menyertai dua sesi latihan ini kerana terikat dengan kelab masing-masing.
Thailand kini berada di tangga ketiga dengan kutipan 8 mata, ketinggalan di belakang Malaysia yang menduduki tangga kedua dengan perolehan 9 mata manakala Vietnam pula menduduki tangga teratas dengan perolehan 11 mata.
Baca artikel lain mengenai pemain Thailand di sini:
Tawaran Beraksi Bersama Leicester City Dan OH Leuven Menanti Tiga Bintang Muda Thailand