Ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Brad Maloney melantik bintang muda Kedah Darul Aman, Aiman Afif sebagai ketua pasukan skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan AFF B-23 tahun di Kemboja.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi itu diberi tanggungjawab untuk mengetuai pasukan Malaysia.

Dalam senarai akhir 28 pemain yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, terdapat beberapa pemain yang mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad B-23 tahun negara yang mampu untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan.

Antara pemain yang dimaksudkan ialah Harith Haiqal, Sikh Izhan Nazrel, Shivan Pillay dan Firdaus Irman namun Aiman Afif menjadi pilihan Brad Maloney untuk menjadi ketua pasukan.

Skuad B-23 kebangsaan akan memulakan saingan Kumpulan B menentang Myanmar pada Selasa, 15 Februari dan Laos pada Jumaat, 18 Februari, kedua-duanya di Stadium Prince, Phnom Penh.

Satu lagi pasukan yang sepatutnya berada dalam Kumpulan B bersama Malaysia iaitu musuh tradisi dan juga juara bertahan, Indonesia sudah menarik diri daripada persaingan akibat dibelenggu masalah kecederaan dan wabak COVID-19 yang melanda pasukan.

Pada saingan edisi 2019, Malaysia gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan B yang ketika itu diisi oleh Kemboja, Indonesia dan Myanmar.

Pasukan negara yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee hanya mampu mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekaligus gagal untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Saksikan siaran langsung semua perlawanan yang melibatkan skuad Malaysia B-23 di saluran TV9 Di Hatiku bermula 15 Februari ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan AFF B-23 Tahun di sini:

Empat Pemain Digugurkan Dari Skuad B-23 Tahun Negara

AFF B-23: Senarai Akhir Diumumkan, Shafi Azswad Ganti Fahmi Daniel

Piala AFF B-23: Empat Tonggak Utama Dipanggil Perkuat Benteng Pertahanan Malaysia