Pasukan-pasukan Liga Malaysia yang bakal beraksi di suku akhir TM Piala Malaysia menyokong rayuan yang dikemukakan Malaysian Football League (MFL) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan tertua Asia Tenggara itu.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berpendapat sekiranya itu adalah yang terbaik, beliau bersedia untuk memastikan pasukan sentiasa mempersiapkan diri untuk beraksi di venue berkecuali yang dipohon oleh pihak MFL iaitu Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan bagi aksi suku akhir.
Apa yang penting baginya adalah keselamatan semua pihak dan seandainya pihak MKN meluluskan permohonan rayuan tersebut, beliau yakin barisan pemain tiada masalah untuk beraksi dengan perancangan khas serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.
“Harap-harap kita masih boleh meneruskan saingan ini tetapi apa-apa pun kami tetap akan menghormati apa jua perancangan daripada MFL dan juga keputusan dari pihak Kerajaan.
“Yang penting adalah keselamatan semua orang, dan untuk saya, tiada masalah pun kita beraksi di venue berkecuali termasuk daripada segi persiapan pemain juga tiada masalah sebab pasukan lain pun seperti kita juga.
“Jadi, ia adalah perancangan yang adil untuk semua pasukan dan saya rasa MFL juga sudah fikirkan yang terbaik untuk kami semua, jadi harap sesuatu yang positif akan diputuskan,” katanya.
Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira pula menyifatkan rayuan yang dikemukakan oleh MFL itu adalah wajar memandangkan hanya tinggal beberapa perlawanan sahaja lagi.
Justeru, baginya cadangan daripada MFL untuk mengadakan perlawanan di venue yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah yang terbaik apatah lagi jumlah pasukan juga akan berkurangan sebaik sahaja tamat aksi di pusingan suku akhir.
“Kalau kita tengok perlawanan juga tidaklah banyak dan MFL membuat cadangan yang baik untuk kita beraksi di venue berkecuali kerana hanya itu sahaja solusi yang kita ada.
“Dan aksi suku akhir pula hanya melibatkan 8 pasukan, selepas itu akan tinggal lagi 4 di separuh akhir, sebelum kita ke final, jadi rasanya tidak akan menjadi isu.
“Harapan saya agar keputusan yang terbaik dapat dibuat demi kebaikan semua pihak,” tambahnya.
Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff turut menyokong seandainya pihak Kerajaan memberi lampu hijau agar saingan TM Piala Malaysia diteruskan, asalkan tidak menganggu kontrak pemain yang akan berakhir pada penghujung November ini.
Justeru, baginya selagi saingan itu tetap berlangsung pada bulan ini, maka tiada masalah untuk pasukan tetap melakukan persediaan menghadapi perlawanan di venue berkecuali yang dicadangkan oleh pihak MFL.
“Saya secara peribadi juga berharap agar Piala Malaysia dapat diteruskan dan memahami situasi yang sedang berlaku ketika ini.
“Terima kasih kepada MFL kerana membuat rayuan tersebut untuk kita cuba meneruskan juga saingan ini pada bulan November.
“Bukan apa, rata-rata kontrak pemain akan tamat pada penghujung bulan ini, jadi selagi perlawanan berlangsung pada November, tiada masalah untuk kami sentiasa bersedia menghadapi saingan ini”, katanya.
MFL dalam satu kenyataan pada hari ini telah mengemukakan rayuan kepada MKN untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2020 dengan perancangan khas iaitu mengadakan perlawanan suku akhir, separuh akhir dan final di venue berkecuali, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan.