Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak menasihatkan anak-anak buahnya agar belajar daripada kesilapan ketika pasukan itu menewaskan Petaling Jaya City FC dalam perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman pada Rabu.
Skuad Hijau Kuning akan turun pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2019 menentang Felda United pada Ahad ini dan Aidil dilihat tidak rela kelebihan yang dimiliki oleh pasukannya lebur kerana kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Kita harus belajar sesuatu dari perlawanan itu. Kita mendahului lawan dengan dua jaringan namun mereka masih boleh bangkit menyamakan kedudukan dan memberi tentangan sukar .
“Dua gol dijaringkan bukan jaminan kemenangan kerana bola sepak adalah mengenai keseluruhan aksi 90 minit. Jika kita meneruskan rentak permainan seperti itu dalam perlawanan seterusnya, kita akan dihukum,” kata Aidil Sharin menurut laporan Harian Metro.
Kedah mempunyai bekalan tipis apabila mereka hanya mampu menang dengan keputusan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Darul Aman pada Sabtu lalu. Penyerang import, Fernando Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua dan jaringan tersebut kekal sebagai gol tunggal perlawanan.
Pada perlawanan menentang PJ City, Kedah mendahului menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-15 dan Farhan Roslan pada minit ke-49 sebelum PJ bangkit menyamakan kedudukan menerusi percubaan Washington Brandao dan G.Gunasegaran pada minit ke-60 dan 66.
76'| GOL RODRIGUEZ!
Hijau Kuning kembali mendahului selepas sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar disudahkan dengan baik Fernando Rodriguez!@official_kfa 3-2 PJ City FC#LigaSuper2019#MFLLive#KEDPJC pic.twitter.com/IUqZbN6QjF
— MFL LIVE (@MFL_Live) June 26, 2019
Fernando muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-76 sekaligus meletakkan Kedah di tangga ketiga dalam carta Liga Super.