Ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Aidil Sharin bersedia dengan segala kemungkinan mengenai penganjuran saingan Piala AFC 2021 ketika ini yang menemui jalan buntu
dalam mencari tuan rumah bagi kejohanan tersebut.
Harapan besar semestinya agar saingan itu tidak dibatalkan memandangkan pasukan sudah menjalani segala persiapan rapi terutamanya dalam tempoh saingan Liga Malaysia sedang berehat ketika ini.
Jelas Aidil, mereka sentiasa bersedia dan tidak kisah ia diadakan di mana-mana negara sekalipun kerana apa yang penting adalah barisan pemain telah bekerja keras sejak musim lalu untuk memastikan slot ke Piala AFC dan mahu usaha itu terbayar apabila dapat beraksi.
“Macam-macam mana pun kami tetap profesional dan masih sabar menunggu keputusan yang akan dibuat itu, selain latihan juga masih dilakukan seperti biasa.
“Yang penting, saya bersyukur kami masih lagi dapat menjalani latihan cuma tiada apa yang pasti lagi ketika ini, jadi mahu atau tidak, kami kena sentiasa bersedia kerana apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Saya tidak kisah pun mengenei venue atau negara mana yang akan jadi tuan rumah, yang penting Piala AFC tetap berlangsung kerana ini juga untuk pemain-pemain yang sudah berusaha untuk layak ke saingan ini”, jelasnya.
Bercakap mengenai perkembangan pasukan yang kini sedang menjalani latihan secara Camp Based Training di Baling, Kedah, Aidil mahu barisan pemain tidak hanya memikirkan mengenai saingan Piala AFC sahaja, tetapi perlu mengambil serius baki aksi Liga Super yang dijangka lebih sengit.
Meskipun ketika ini Kedah selesa di tangga ketiga liga, namun beliau merasakan kedudukan tersebut mampu dicabar lawan seperti Selangor FC, Kuala Lumpur City FC atau Penang FC yang dilihat semakin garang mempersiapkan skuad untuk baki saingan selepas ini.
“Saya rasa pasukan-pasukan lain berpeluang untuk mengubah kedudukan liga ketika ini jika dilihat daripada persiapan mereka dan rombakan pemain yang dilakukan.
“Jika dilihat sekarang, JDT (Johor Darul Ta’zim), Terengganu FC dan Kedah di kelompok tiga teratas, tetapi kita tak boleh lupa juga mungkin Selangor, Kuala Lumpur atau beberapa lagi lawan lain mampu menggugat kedudukan itu.
“Jadi, saya sentiasa ingatkan pemain agar tidak ambil mudah dengan persiapan ini dan yang penting adalah mereka perlu konsisten selain perlu elak sebarang kecederaan dalam tempoh ini,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:
Farizal Anggap Ratchaburi Pasukan Bagus Dari Segi Teknikal, Sasar Catat Keputusan Positif
Kes COVID-19 Meningkat, Tarikh Sepak Mula Liga Premier 2021 Terpaksa Dipinda