Persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 sudah pun bermula semalam. Malah, kem latihan pusat kali ini turut disertai oleh pemain naturalisasi dari Argentina, Sergio Aguero.

Baca Juga:

Pemain Sri Pahang itu mendapat kerakyatan Malaysia pada bulan September lalu dan bakal menjadi pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi.

Aguero menyifatkan panggilan ke skuad kebangsaan merupakan satu penghormatan dalam karier bola sepaknya dan beliau tekad membalas kepercayaan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dengan mempamerkan aksi terbaik.

“Ini satu detik bersejarah dalam karier saya dan tidak mungkin terjadi jika bukan kerana Sri Pahang. Kini keinginan saya untuk menyarung jersi Malaysia semakin membuak.

“Saya tidak mahu mengecewakan kepercayaan yang diberikan, mahu memberikan 110 peratus kepada Harimau Malaya dan membuktikan jurulatih telah membuat pilihan yang tepat,” ujar Aguero dipetik dalam laman web Sri Pahang.

Aguero dijangka berganding dengan Darren Lok untuk memperkuatkan bahagian serangan selepas ketiadaan Syafiq Ahmad yang tidak menyertai pasukan kali ini.

Harimau Malaya

Seramai 17 pemain telah melapor diri di kem latihan manakala baki 11 pemain lain akan menyertai pasukan secara berperingkat iaitu tujuh pemain Selangor FC dan dua pemain Johor Darul Ta’zim pada 5 Disember 2022; penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim pada 6 Disember 2022 selepas selesai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan dan pemain FK Jablonec, Dion Cools pada 16 Disember 2022.

Aguero berpeluang beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya ketua jurulatih, Kim Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala Final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik.