Skuad wanita muda Malaysia jelas tidak mampu untuk menandingi kehebatan Australia apabila dibelasah 0-8 pada aksi kedua Kejuaraan Wanita Bawah 18 Tahun (B-18) AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Atletik Jakabaring, Indonesia sebentar tadi.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dialami skuad kendalian Kok Kek Ling yang berada dalam kumpulan B itu selepas mereka tumpas 0-2 ketika bertemu Myanmar, Isnin lalu.
Kekalahan yang sama sekali menamatkan perjalanan skuad negara untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.
Dilabel sebagai antara pilihan untuk menjuarai kejohanan yang julung kali diadakan itu, Australia berjaya membuka tirai jaringan menerusi Jonti Elizabeth Fisher pada minit ke-17.
Gol itu jelas menyemarakkan lagi semangat juang anak buah Raeanne Dower dimana mereka menambah dua lagi jaringan hasil sumbangan Ella Lourdes Kataryna pada minit ke-36 dan 43.
Ketika aksi memasuki masa kecederaan babak pertama, Isabella Caterina menjadikan kedudukan 4-0 untuk memberikan kelebihan selesa buat Australia sebelum menuju ke bilik persalinan.
Kelebihan empat gol itu nyata masih belum buat para pemain Australia apabila mereka mendominasi permainan sekali gus menambah empat lagi jaringan menerusi Daisy Brown (dua gol), Sienna Saveska dan Ella Masih.
Kemenangan 8-0 itu meletakkan Australia kini gah di tangga teratas dengan kelebihan perbezaan jaringan walaupun terikat enam mata bersama Myanmar.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada Jumaat ini bagi menentukan juara kumpulan manakala Malaysia pula akan berhadapan satu lagi pasukan yang masih belum mampu mencatatkan sebarang mata, Filipina.