Ketua jurulatih skuad B-23 Tahun Indonesia, Shin Tae-yong merasa pasukannya dirugikan oleh pengadil selepas skuad kendaliannya muncul sebagai naib juara dalam saingan Piala AFF B-23 Tahun baru-baru ini.

Indonesia tewas kepada Vietnam pada perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Selepas perlawanan, Tae-yong melaungkan kekecewaan beliau terhadap kualiti pengadil dalam saingan edisi kali ini yang mana beliau menyifatkan pengadil terlalu memihak kepada pasukan lain.

“Memang Piala AFF diadakan atas tujuan baik iaitu aksi persahabatan supaya ada perkembangan dalam saingan bola sepak Asia Tenggara.

“Tetapi sampai hari ini saya masih hairan mengapa pengadil merosakkan sebuah kejohanan yang bertujuan baik seperti ini.

“Aksi menentang Malaysia yang seharusnya bukan sepakan penalti tetapi pengadil memutuskan sebaliknya. Perkara sama turut berlaku ketika perlawanan akhir.

“Sama situasi ketika kami sepatutnya dapat sepakan penalti, tetapi pengadil tidak memberikannya. Pengadil terlalu berpihak kepada satu pasukan,” katanya.

Tambah Shin Tae-yong, sekiranya Piala AFF mahu menjadi satu kejohanan yang memberi manfaat kepada pemain, maka mereka perlu menyelesaikan masalah yang melibatkan pengadil terlebih dahulu.

“Kalau kita nak tengok Piala AFF ini berkembang, maka masalah seperti ini perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya harap pada masa akan datang pengadil akan lebih tegas dan tidak memihak kepada satu pasukan sahaja,” tambahnya.

Vietnam muncul sebagai juara diikuti dengan Indonesia di tempat kedua. Thailand menewaskan Malaysia sekaligus menduduki tempat ketiga dan skuad Harimau Malaya di tempat keempat.