Skuad bawah 15 tahun Malaysia (B-15) terus mengekalkan rentak cemerlang apabila menewaskan Vietnam, 3-1 untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-15 petang tadi.
Meskipun ketinggalan 0-1 hasil jaringan daripada Pham Van Phong seawal minit ke 9, namun ia langsung tidak mematahkan semangat anak buah P. Maniam untuk bangkit mempamerkan corak permainan menarik.
Usaha mereka mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang muda negara, Muhammad Nabil Qayyum menjaringan gol penyamaan pada minit ke 14. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Nabil sekali lagi menjaringkan gol kedua untuk negara pada minit ke 49 selepas memperdayakan barisan pertahanan Vietnam lalu menyudahkan peluang terhidang di depan mata.
Aksi menarik daripada Nabil Qayyum yang mengelecek pemain pertahanan Vietnam untuk gol kedua Malaysia petang tadi.
Nabil Qayyum the next 'Lionel Messi'?#AFFU15 #VocketFC pic.twitter.com/1WkdQ6yCs3
— VOCKET FC (@vocketfc) August 7, 2019
Skuad negara seolah-olah tidak berpuas hati dengan dua jaringan tersebut lalu mereka tekad untuk menambahkan jaringan yang ketiga untuk memastikan tiket ke perlawanan akhir berada dalam genggaman.
Muhammad Aliff Izwan melengkapkan kemenangan 3-1 negara pada minit ke-78 melalui rembatan kencang kaki kiri di dalam kotak penalti.
“Kredit seharusnya diberikan kepada para pemain kerana mereka memberikan 200 peratus pada perlawanan ini untuk merealisasikan misi pasukan mara ke final. Walaupun kami dibolosi awal tetapi pemain menunjukkan disiplin tinggi untuk bangkit dan mengawal permainan terutama pada separuh masa kedua.
“Saya berharap momentum dan semangat ini dapat dikekalkan pada aksi final nanti,” kata Maniam selepas tamat perlawanan.
Menanti skuad negara di perlawanan akhir pada hari Jumaat ini adalah antara pasukan tuan rumah, Thailand dan Indonesia yang berentap pada satu lagi aksi separuh akhir malam ini.
Sebaik berakhirnya perlawanan, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dato’ Haji Hamidin turut mengambil kesempatan bertemu dan terus memberi kata-kata semangat kepada pasukan negara dengan diiringi Naib Presiden FAM yang juga pengurus pasukan B-15, Datuk S Sivasundaram.
Sebagai rekod, Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada final menerusi dalam penentuan penalti selepas terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.