Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menghantar tawaran kepada negara anggota untuk menjadi tuan rumah temasya Piala Asia 2023 sekaligus menggantikan China.
China menarik diri daripada menjadi tuan rumah setelah pandemik COVID-19 sukar dikawal di negara itu dimana kes harian meningkat dan beberapa kawasan dikenakan sekatan sepenuhnya.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata pihaknya akan menghantar tawaran kepada 47 negara anggota dan Malaysia dilihat berpeluang untuk sekali lagi menjadi tuan rumah.
“Kami akan memberikan waktu satu bulan, yang mana akan berakhir pada hujung bulan Jun. Jika perlu, kami akan melakukan lawatan bagi melihat fasiliti yang ada dan kemudiannya berbincang dengan jawatankuasa.
“Kami berharap ada negara anggota yang sedia untuk menjadi tuan rumah. Setelah mana-mana negara yang menyatakan mereka berminat, maka jawatankuasa akan memutuskan sama ada negara tersebut layak atau sebaliknya.
“Yang paling penting adalah negara tersebut bersedia untuk menjadi tuan rumah. Mereka perlu memenuhi kriteria dan tidak ada sekatan atau peraturan ketat mengenai pandemik COVID-19,” kata Datuk Seri Windsor.
Tambah Datuk Seri Windsor, tidak menjadi masalah sekiranya negara yang berminat beraksi dalam saingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya Piala Asia ialah pada edisi 2017 dimana Malaysia menjadi tuan rumah bersama tiga lagi negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam. Akan tetapi, pasukan negara hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Negara yang menjadi tuan rumah layak untuk beraksi di temasya tersebut secara automatik dan Malaysia dilihat sebagai calon yang sesuai kerana ada beberapa stadium yang boleh dijadikan venue selain negara ketika ini sudah memasuki fasa endemik dan peraturan mengenai COVID-19 tidak begitu ketat.
Akan tetapi, sekiranya Malaysia mahu menjadi tuan rumah, kita akan menghadapi cabaran hebat dari beberapa negara khususnya dari Timur Tengah kerana ada negara yang dikhabarkan berminat bagi menggantikan China.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:
Perlawanan Persahabatan: De Paula Tutup Mulut Pengkritik, Bantu Skuad Negara Atasi Brunei