Bintang skuad kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn kini sudah tiba di Malaysia sejak kelmarin untuk menyertai Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi musim baharu saingan Liga Malaysia yang bakal bermula pada bulan depan.
Baca Juga:
- Terengganu FC Berpotensi Jana Pendapatan RM300,000 Setahun Melalui TFC Play
- Penyerang Croatia Bakal Perkuatkan Terengganu
- Dilepaskan Terengganu, Ini Penjelasan Papé Diakité
Beliau baru sahaja membantu negaranya menjuarai Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada minggu lalu dan ketibaan pemain itu disambut dengan mesra oleh para penyokong Terengganu yang tidak sabar untuk melihat aksinya.
Bekas pemain Muangthong United tersebut mula menyertai sesi latihan bersama skuad TFC semalam dan kehadirannya pasti bakal memberikan saingan lebih mencabar di posisi serangan kerana skuad itu memiliki dua lagi penyerang import iaitu Jordan Mintah dari Ghana dan pemain berketinggian 1.92 meter dari Croatia, Ivan Mamut.
🏴🏳️ ADISAK #TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/a7l4doHlcM
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 26, 2023
Adisak merupakan nama besar dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara kerana beliau adalah tonggak utama skuad kebangsaan Thailand dan sering mewakili negaranya di pentas antarabangsa.
Pemain yang berusia 31 tahun ini telah menandatangani kontrak untuk bersama TFC selama tempoh 2 tahun ( 1 +1 ). Beliau akan mengisi kuota pemain import ASEAN yang ditinggalkan oleh pemain Filipina, Manuel Ott.
Adisak memutuskan untuk berhijrah dari liga Thailand untuk mendapatkan cabaran baharu dan beliau melihatkan saingan Liga Malaysia adalah antara salah sebuah liga kompetitif di Asia Tenggara.
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner percaya kehadiran Adisak Kraisorn akan memberikan aura luar biasa kepada pasukan dalam memperkuatkan lagi jentera serangan pada musim 2023.
“Saya ada cara saya yang tersendiri untuk menilai dan mengenali seseorang pemain di mana saya bersama jurulatih lain juga turut sama berbincang mengenai pemain ini (Adisak Kraisorn).
“Saya lihat dia sememangnya seorang penyerang yang cukup bagus ketika di Thailand dan percaya dia boleh bermain dengan cara kami di Terengganu, jadi kami semua memutuskan untuk mengikat Adisak.
“Sudah tentu dia juga perlu bersedia dengan sebaiknya untuk menyesuaikan diri di sini dan jujurnya saya terkejut juga tengok banyak komen selepas pengumuman dibuat memberi sokongan positif dengan kehadirannya.
“Jadi, selepas ketiadaan beberapa pemain berkualiti seperti Faisal Abd Halim, Tchetche Kipre, Manuel Ott dan Kpah Sherman, saya cuba untuk menerapkan sesuatu yang lebih aggresif untuk pasukan ini dan mengharapkan terbaik”, jelasnya kepada MFL.