Baru-baru ini, pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham meletakkan tanda harga sebesar RM5 Juta kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membeli pasukannya.
Baca Juga:
- Datuk Seri Vida Bakal Adakan Perbincangan Dengan Zamsaham Mengenai ‘Take Over’
- Choi Moon-sik Menang Kes FIFA Ke Atas TRW Kelantan
- FAM Tarik Balik Denda Larangan Daftar Pemain Baharu Ke Atas TRW Kelantan
Menurut Zamsaham, sekiranya bakal pembeli tiada dana yang sesuai dengan ketetapan beliau, maka lebih baik bakal pembeli itu melupakan hasrat untuk membeli kelab tersebut.
“Saya boleh katakan jika mahu membeli Kelantan FC dengan harga RM5 juta baik lupakan atau tak payah sembang. Setakat ini, saya ada terima dua tawaran untuk ambik alih Kelantan FC namun ianya hanya perjumpaan awal untuk tunjuk minat sebelum langkah seterusnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Yang menjadi persoalan ialah, adakah nilai RM5 Juta untuk TRW Kelantan adalah satu nilai yang wajar? Mari kita lihat bagaimana penilaian kelab luar negara dijalankan.
Perkara pertama yang diambil perhatian ialah fasiliti yang dimiliki oleh kelab. Fasiliti yang dimaksudkan seperti padang latihan, gym, pusat pemulihan pemain dan yang paling utama sekali ialah stadium.
Perkara kedua ketika jutawan atau mana-mana syarikat besar yang mahu membeli kelab bola sepak ialah sejauh mana kebolehpasaran kelab itu, baik di peringkat domestik atau antarabangsa.
Kebolehpasaran ini merangkumi banyak hal. Tetapi yang sering mendapat perhatian ialah populariti kelab tersebut, jumlah penonton yang hadir ke stadium atau melihat di kaca tv di seluruh dunia.
Sir Jim Ratcliffe dan Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani berani membida dengan harga sebesar £5 Billion untuk membeli Manchester United kerana mereka sedar akan populariti serta kebolehpasaran kelab itu di peringkat antarabangsa. United memiliki jutaan peminat di seluruh dunia yang sekaligus boleh mendatangkan keuntungan kepada bisnes dua individu di atas.
Belum lagi kita ambil kira faktor seperti kelab tersebut disenarai di bursa saham ternama selain kemampuan kelab untuk menarik penaja berprofil tinggi.
Kita kembali ke nilai RM5 Juta yang diletakkan oleh Zamsaham ke atas TRW Kelantan. Adakah nilai ini wajar? Hanya Zamsaham yang tahu mengapa beliau meletakkan nilai ini tatkala situasi semasa di kelab beliau yang sedang menerima tanggapan buruk dari peminat.
Apa yang pasti, Zamsaham perlu memikiki sebab yang rasional mengapa beliau meletakkan tanda harga yang dinilai tinggi oleh peminat bola sepak tanah air.