Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Stuart Ramalingam mengesahkan ada beberapa lagi penaja baharu bakal menyertai Liga Malaysia pada musim 2022 sekaligus memberi petanda yang cukup positif dalam industri bola sepak tempatan.

Selain aksi lebih rancak dan mendebarkan di atas padang yang bakal dipamerkan oleh semua pasukan dalam pemburuan kejuaraan, Liga Malaysia musim ini menjadi lebih berseri apabila diwarnai dengan kombinasi penaja lama dan baharu.

Ini kerana penaja utama yang menjadi penyiar rasmi Liga Super dan TM Piala Malaysia, Telekom Malaysia (TM) unifi dan Puma menerusi pengedarnya Active Sports sebagai Bola Rasmi Liga Malaysia hadir bersama Rakan Pelaburan Kripto Liga Malaysia, Luno, (Rakan Logistik Liga Malaysia) Pos Malaysia, Proviton STR sebagai Rakan Minuman Isotonik Liga Malaysia dan Uphamol bertindak sebagai Rakan Analgesik Liga Malaysia.

Jelas Stuart, untuk merancakkan lagi saingan serta meningkatkan nilai komersial liga, MFL melakukan perubahan format sepak mula pertandingan di mana pada musim ini sepak mula Liga Super dan Liga Premier bermula tiga waktu berbeza iaitu bermula jam 7.30 petang, 8.15 malam dan 9 malam.

“Pertama saya ingin mengucapkan selamat datang kepada penaja-penaja termasuk lama dan baharu. Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat datang unifi, Active Sports, Luno, Pos Malaysia, Proviton STR dan Uphamol dalam Liga Malaysia.

“Kehadiran penaja-penaja ini menjadi satu signifikasi yang sangat penting kepada industri bola tempatan Malaysia kerana kita semua mengetahui setiap pihak memainkan peranan cukup penting dalam komersialkan nilai Liga Malaysia.

“Malah, ada beberapa penaja baharu akan datang menyertai Liga Malaysia 2022 nanti selepas ini. Sama-sama kita nantikan siapakah penaja baharu yang dimaksudkan nanti.

“Suka diumumkan juga bahawa musim ini kita mempunyai tiga format sepak mula berbeza dan sudah pasti format baharu sepak mula Liga Malaysia ini bakal memberikan manfaat bukan sahaja kepada penaja-penaja kami sebaliknya seluruh penyokong tempatan untuk menikmati perlawanan dengan waktu yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebanyak 12 pasukan akan bersaing dalam Liga Super 2022 iaitu juara lapan tahun berturut-turut JDT, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Terengganu FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Melaka United FC, PJ City FC, Sri Pahang FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC.

Manakala saingan Liga Premier 2022 pula akan melibatkan 10 pasukan iaitu, Kelantan FC, Perak FC, Kuching City FC, UiTM FC, Terengganu FC II, Selangor FC 2, JDT II, PDRM FC, Kelantan United FC dan Skuad Projek FAM-MSN.

Selain itu saingan kalah mati Piala FA yang akan bermula dengan kelayakan playoff pada 6 Mac 2022 dan final pada 6 Ogos 2022 tampil menerusi format baharu di mana perlawanan di peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA hanya satu perlawanan dan tiada timbal balik sementara kejohanan TM Piala Malaysia berlangsung pada 7 dan 8 Oktober 2022 sehingga ke laluan pentas final pada 19 November 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Malaysia Airlines Diumumkan Sebagai Rakan Penerbangan Rasmi Liga Malaysia 2022

Aksi Liga Premier 2022 Kini Boleh Ditonton Melalui Platform YouTube MFL

RTM Diumumkan Sebagai Rakan Penyiar Unifi Liga Malaysia 2022

2 Musim Ditangguhkan, Saingan Piala FA Kini Kembali

Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam

RASMI: Luno Diumumkan Selaku Rakan Pelaburan Kripto, Penaja Liga Super Malaysia Dan Piala Malaysia 2022