Bekas pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee menganggap usahanya untuk kembali mencipta nama musim ini berbaloi selepas akhirnya tercalon untuk memburu gelaran Pertahanan Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).
Baca Juga:
- ABK22: Kategori Penjaga Gol Bakal Saksikan Pemenang Baharu
- ABK21: Bojan Hodak Tak Letak Harapan Tinggi Raih Anugerah
- Nafuzi Zain Bangga Tercalon Bagi Anugerah Jurulatih Terbaik ABK 2020
Khuzaimi bersaing sengit dengan dua lagi calon dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Shahrul Saad dan La’Vere Corbin-Ong di mana ini adalah kali pertama pemain berasal dari Melaka itu mendapat pencalonan tiga terbaik.
Bagi Khuzaimi, tahun 2022 merupakan musim yang terbaik untuknya selepas berdepan karier yang mencabar sebelum ini.
Sudah tentu, ia bukan mudah untuk meraih trofi Pertahanan Terbaik apabila bersaing sengit dengan dua calon yang telah meraih kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA dan TM Piala Malaysia.
“Tidak sangka sebenarnya boleh tercalon tiga terbaik sebab sebelum ini rasanya ramai lagi yang hebat tetapi sekarang saya macam tidak percaya.
“Peluang nak menang saya tidak kisah sangat sebab saya tahu Corbin dengan Shahrul pun memang beraksi cemerlang dalam liga.
“Paling penting saya nak ucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan Negeri Sembilan dan pemain-pemain sebab beri saya peluang beraksi dan tahun ini memang rasa puas sangat.
“InsyaAllah saya akan terus berikan persembahan yang baik dalam setiap perlawanan dan Alhamdulillah untuk pencalonan ini”, jelasnya.
Sementara itu, Shahrul Saad pastinya mengidam trofi ketiganya selepas pernah memenangi gelaran Pertahanan Terbaik dua tahun berturut-turut pada 2018 dan 2019.
Sementara pada musim 2020 pula dimenangi oleh Aidil Zafuan Abd. Radzak (JDT) dan Matthew Davies (JDT) memenanginya pada tahun lalu.
Manakala Corbin-Ong juga sudah tentu dalam misi untuk memburu trofi yang pertama selepas menampilkan prestasi yang memberangsangkan untuk membantu pasukan meraih kejuaraan ‘Quadruple’ musim ini.
ABK22 akan berlangsung secara virtual pada Khamis, 15 Disember 2022, jam 9 malam di mana sebanyak 16 kategori dipertandingkan.
Anugerah yang dipertandingkan ialah dan Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).
Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Premier, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik juga turut diiktiraf.