Seramai 40 pengadil Malaysia bersama 14 ‘replay operator’ kini menjalani latihan fasa kedua ‘Video Assistant Referee’ (VAR) bermula 26 Ogos hingga 11 September 2023 sebagai langkah persiapan awal pelaksanaan VAR di Liga Malaysia.

Baca Juga:

Terdahulu, latihan fasa pertama VAR ini telah dijalankan pada 15 dan 16 Julai yang lalu secara dalam talian.

Langkah awal yang diambil ini adalah sebahagian daripada inisiatif Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang mahu arena bola sepak negara berjalan seiring dengan perkembangan yang berlaku di peringkat antarabangsa terutama sekali di peringkat FIFA.

Kursus selama 17 hari di Wisma FAM itu telah dikendalikan oleh Instruktur VAR FIFA, Tamer Dorry dari Mesir dan dibantu oleh Pakar Teknologi VAR, Sebastian Andrzej Szelag dari Poland.

VAR Liga Malaysia
FOTO: FAM

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ Sivasundaram berterima kasih kepada Malaysian Football League (MFL) atas sokongan dan kerjasama yang dihulurkan dalam menjayakan pelaksanaan VAR di Liga Malaysia.

“Seperti yang semua sedia maklum, FAM sentiasa komited terhadap pembangunan serta kebajikan pengadil-pengadilnya. Selain itu, FAM berharap pengenalan sistem VAR ini di dalam Liga Malaysia, sudah tentu ia dapat membantu mengurangkan kesilapan pengadil ketika mengendalikan perlawanan.

“Dikesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Sheikh Salman Ibrahim Al Khalifa di atas sokongan serta bantuan teknikal yang telah diberikan sepanjang latihan ini diadakan.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Tamer dan Sebastian di atas kesudian untuk hadir mengendalikan kursus ini. Semoga dengan usaha bersama ini, barisan pengadil di Malaysia dapat menjalankan tugas dengan lebih baik pada penghujung latihan VAR ini,” kata Dato’ Sivasundaram.

FOTO: FAM

Bagi latihan fasa kedua VAR kali ini, ia meliputi aspek penggunaan simulator VAR dengan menggunakan sebanyak 150 klip video bagi setiap pengadil. Setiap klip video yang digunakan telah diiktiraf oleh FIFA untuk digunakan bagi tujuan latihan.

Setiap proses latihan ini akan memberi penekanan kepada aspek penggunaan teknologi simulator VAR yang berkonsepkan ‘minimum interference, maximum benefits’ tanpa merencatkan kelancaran perlawanan.

Latihan VAR ini akan diteruskan dengan latihan fasa ketiga yang dijangka diadakan pada bulan November dan Disember 2023.