Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam telah mengumumkan senarai nama 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E. Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat bermula Ahad, 13 Ogos 2023.
Baca Juga:
- FAM Tak Jadi Hantar Skuad Malaysia B-23 Ke Sukan Asia
- Elavarasan Mahu Bentuk Skuad Malaysia B-23 Yang Mantap
- Presiden FAM Mahu Pemain Malaysia B-23 Bangkit Tunjuk Mentaliti Sang Juara
Mereka dikumpulkan untuk membuat persiapan bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand bermula 17 hingga 26 Ogos 2023.
Elavarasan telah memanggil pemain yang beraksi dalam saingan Piala MFL musim ini tanpa kelibat pemain berpengkalan dari luar negara seperti Luqman Hakim, Nooa Laine serta Richard Chin.
Ia adalah gabungan tonggak yang beraksi di Sukan SEA 2023 Kemboja bersama beberapa muka baharu.
Skuad B-23 kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Timor Leste.
Mereka akan berlepas ke Thailand pada 16 Ogos 2023 dan seterusnya memulakan saingan berdepan Indonesia pada Jumaat, 18 Ogos 2023 sebelum bertemu Timor-Leste pada Selasa, 22 Ogos 2023.
Juara kumpulan (3 pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan Final akan berlangsung pada 26 Ogos 2023.
Selepas Piala AFF B-23, pasukan itu akan menghadapi satu lagi kejohanan penting iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 pada bulan September nanti.
Malaysia perlu layak ke Piala Asia B-23 tahun depan kerana ia menawarkan tiket ke sukan Olimpik di Paris 2024.
Elavarasan dijangka menyenaraikan barisan terkuat untuk saingan Kelayakan Piala Asia B-23 termasuk beberapa pemain yang beraksi di luar negara.
Selain itu FAM juga tidak akan hantar skuad tersebut ke Sukan Asia 2022 di China.
Punca utama penarikan diri ialah FAM mahu skuad B-23 negara memberi fokus kepada Kelayakan Piala Asia B-23 yang turut berlangsung pada bulan yang sama.
Berdasarkan jadual, Sukan Asia 2022 akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober manakala pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 bermula 4 September hingga 12 September 2023.