24 Pemain skuad bola sepak Malaysia bawah 23 tahun (B-23) kendalian Brad Maloney di KLIA, Sepang berlepas ke Hanoi, Vietnam hari ini bagi menghadapi acara bola sepak lelaki pada temasya Sukan SEA 2021.
Daripada senarai 24 pemain yang dipilih, Maloney akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain untuk didaftarkan bagi Sukan SEA 2021 pada Jumaat, 6 Mei 2022, iaitu sehari sebelum saingan Kumpulan B bermula.
Sementara, empat pemain yang tiada dalam senarai akhir 20 pemain itu akan terus kekal berada di Hanoi sebagai Senarai Bersedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang terpaksa digugurkan jika diuji positif COVID-19 di sepanjang saingan Sukan SEA 2021 berlangsung.
Bagi Kumpulan B, Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand pada Sabtu, 7 Mei 2022, jam 8.00 malam (waktu Malaysia), Laos pada Rabu, 11 Mei 2022, jam 8.00 malam (waktu Malaysia), Singapura pada Sabtu, 14 Mei 2022, jam 5.00 petang (waktu Malaysia) dan Kemboja pada Isnin, 16 Mei 2022, jam 5.00 petang (waktu Malaysia), dengan kesemua perlawanan peringkat kumpulan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.
Sementara saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah yang juga juara bertahan, Vietnam bersama-sama Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor-Leste pula dijadual berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan seterusnya akan layak ke separuh akhir pada Khamis, 19 Mei 2022 di Stadium Thien Truong dan Stadium Viet Tri manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan Final dijadual berlangsung pada Ahad, 22 Mei 2022 di Stadium My Dinh, Hanoi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.
Luqman Hakim Bakal Sertai Kem Latihan Skuad B-23 Tahun Negara Pada Sabtu
Skuad Bawah 17 Tahun Malaysia Berpeluang Jalani Latihan Di Akademi Juventus
Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil
Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya