Kelab terkemuka Toyota Thai League, True Bangkok United mengukuhkan lagi kerjasama bersama kelab J1 League, FC Tokyo apabila menghantar 2 lagi pemain remaja mereka berlatih bersama skuad berpangkalan di Chofu itu semalam.
FC Tokyo yang menerima anugerah pembangunan remaja terbaik JLeague baru-baru ini sebelum ini telah menerima beberapa pemain dari kelab True Bangkok United hasil usahasama kedua-dua pihak yang disokong oleh Thai League dan JLeague bagi membangunkan bola sepak Thailand umumnya.
2 pemain tersebut yang kedua-duanya berusia 17 tahun akan menyertai latihan khas bersama akademi FC Tokyo selama 1 bulan.
Seorang pemain Thailand U23 yang kini beraksi bersama pasukan ‘feeder club’ FC Tokyo U23 dalam saingan J3 League, Jakkit Wachpirom telah berjaya melanjutkan latihan untuk tahun kedua selepas berjaya meyakinkan barisan kejurulatihan FC Tokyo U23 dengan kualiti yang ada.
Perkara ini juga adalah sebab utama mengapa program pertukaran pemain diantara kedua-dua buah kelab ini semakin kukuh dan berdasarkan makluman dari Tokyo, mereka kekal komited untuk membantu pasukan dari Thailand membangunkan pemain-pemain muda mereka melalui kerjasama yang dijalinkan.
Pemergian kedua-dua pemain muda True Bangkok United juga juga berjaya direalisasikan dengan sokongan sebuah syarikat Jepun yang juga penaja utama pasukan FC Tokyo – Nichiban yang menanggung semua kos perbelanjaan mereka ke Tokyo.