Seorang penyokong setia Liverpool dari Kosovo, Uke Krasniqi tidak pernah memotong rambutnya sejak 17 tahun lalu gara-gara ‘bernazar’ hanya akan memotong rambut selepas Liverpool bergelar juara Liga Perdana Inggeris.
Penantian beliau itu berakhir selepas skuad kendalian Jurgen Klopp dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/2020 apabila pencabar terdekat, Manchester City tewas 1-2 kepada Chelsea pada hari jumaat lepas.
Krasniqi yang tinggal di Vancouver, Kanada telah beberapa kali didesak memotong rambutnya tetapi beliau tetap berpegang pada janjinya untuk menunggu pasukan kesayangannya itu bergelar juara.
“Sejak 2003, saya simpan rambut panjang secara konsisten. Liverpool telah memenangi semua kejuaraan tetapi belum juara liga. Kalau Jordan Henderson sudah mengangkat trofi kejuaraan, saya akan potong rambut saya,”katanya dipetik dalam The National.
Penyokong yang berusia 37 tahun itu tidak pernah terlepas menonton semua perlawanan yang membabitkan pasukan Liverpool sejak zaman Kenny Dalglish dan Graeme Souness.
Sebelum ini, beliau khuatir saingan liga musim ini dibatalkan susulan penularan wabak pandemik COVID-19 namun impiannya untuk melihat The Reds menjadi juara menjadi kenyataan.
“Saya telah lama menunggu saat ini.
“Selagi diperlukan, saya sentiasa menyokong pasukan ini. Saya juga ada beberapa pengalaman yang mengecewakan tetapi akhirnya, ia jadi kenyataan (bergelar juara),” tambahnya.
Kali terakhir Liverpool bergelar juara liga ialah pada 30 tahun lalu (musim 1989/1990) ketika dibimbing oleh Kenny Dalglish.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak eropah melalui pautan dibawah.
Kesebelasan Impian Tevez Dipenuhi Pemain United Dan Tiada Pemain City
Everton Berminat Dapatkan Khidmat “Centre Back” Korea Selatan, Kim Min-jae
Man City Belasah Burnley, Penyokong Pelawat Terbangkan Banner Kontroversi